KECEMERLANGAN pemain sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi selepas menjaringkan dua jaringan gol di pentas Asia tidak dapat dinafikan mencetuskan fenomena sehingga ia masih menjadi topik perbualan utama penyokong domestik dan luar negara.
Pemain Paling Berharga Liga Malaysia pada 2021 dan 2022 itu mencetak dua jaringan gol ketika membantu Harimau Selatan menang ke atas wakil Thailand, BG Pathum United bagi saingan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Persembahan cemerlangnya juga meletakkan penyerang sayap kebangsaan terebut sebagai antara 11 pemain terbaik atau 'kesebelasan pilihan' bagi aksi kedua peringkat kumpulan saingan tertinggi kelab Asia itu.
Wajah Arif Aiman dalam poster 'Team of The Round' minggu kedua ACL itu juga dipamer sebaris pemain bintang seperti bekas pertahanan Chelsea, Kalidou Koulibaly yang kini beraksi bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
Tidak berhenti di situ, Arif Aiman nampaknya semakin menjadi 'anak emas' ACL apabila klip videonya mencetak jaringan kedua menentang BG Pathum itu dimuatnaik di laman Facebook rasmi kejohanan tersebut.
Prestasi cemerlang pemain berusia 21 tahun itu nampaknya dicemburui penyokong jiran dan ada di antara mereka membandingkan ayam tambatan JDT tersebut dengan prospek penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta.
Dalam satu hantaran poster oleh laman penyokong, Timnas Indonesia di Facebook menyiarkan gambar Arif Aiman bersama Sananta dengan meletakkan butiran tanda harga dan jaringan gol serta hantaran bantuan kedua-dua pemain muda itu.
Berdasarkan laman transfermarkt, Arif Aiman dinilai mencecah sehingga RM1.5 juta, manakala pemain Persis Solo itu mempunyai tanda harga pasaran sebanyak RM1.4 juta di usia 20 tahun pada tahun ini.

Poster perbandingan Arif Aiman dan Sananta.
Dari segi statistik jaringan gol, Arif Aiman sudah mencetak sebanyak lapan dalam 21 penampilan saingan Liga Super, Sananta pula sekadar merekodkan lima jaringan gol bagi 11 perlawanan dia diturunkan untuk Liga 1 Indonesia.
Jika dilihat dari sudut tanda harga dan statistik jaringan gol, terbukti bahawa Arif Aiman jauh lebih cemerlang dan bernilai namun penyokong Indonesia mempunyai pendapat berbeza mengenai perkara itu.
"Arif Aiman lebih beruntung dengan pemain-pemain berkualiti, JDT pula beraksi di ACL juga, berbeza dengan Sananta, seorang pemain berbakat tapi kelabnya tidak elit seperti Arif Aiman," kata penyokong Indonesia, Zainulefendi.
"Arif Aiman mahal kerana JDT yang punya. Jika dilihat dari segi bakat dan kemampuan, masih biasa saja. Prospek Sananta lebih menjanjikan," tambah penyokong Indonesia, Senja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
