Endrick tak gentar bertemu lawan lebih kuat, yakin HM mampu ungguli Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

Endrick sudah mengukuhkan tempatnya sebagai salah seorang tonggak bagi skuad kebangsaan ketika ini. — Facebook/FAM

BINTANG naturalisasi Harimau Malaya, Endrick dos Santos percaya akan kebolehan pasukannya itu meskipun mereka bakal berdepan lawan yang berada di kedudukan lebih baik dalam ranking FIFA ketika Pestabola Merdeka.

Kepercayaan terhadap pasukannya itu dilihat membolehkan skuad kebangsaan menjuarai pertandingan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah memahami falsafah ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

"Kami beraksi dengan lebih yakin ketika ini kerana kami sudah faham akan pendekatan serta gaya permainan pengendali pasukan.

"Walaupun kami akan berdepan pasukan yang lebih hebat dan berada di kedudukan lebih baik dalam ranking FIFA, kami percaya kami boleh menjuarai Pestabola Merdeka," ujarnya.

Berdasarkan jadual semasa, Harimau Malaya bakal berdepan India pada Jumaat sementara Tajikistan dan Palestin akan turut beraksi pada hari yang sama. Namun, keputusan sama ada Palestin akan turut mengambil bahagian pada edisi kali ini masih belum muktamad.

Pemenang daripada kedua-dua perlawanan berkenaan akan menempah tiket ke pentas akhir kejohanan yang bakal diadakan pada 17 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

6513d5354b04433a9512a2b1f521465c

India merupakan salah satu negara yang menyertai Pestabola Merdeka kali ini. Agensi

Jelas Endrick lagi, kesukarannya untuk mendapatkan jaringan sulung peribadinya buat skuad kebangsaan tidak memberi kesan terhadap moralnya setiap kali diturunkan.

"Gol saya akan hadir tepat pada waktunya. Saya hanya bermain berdasarkan arahan daripada jurulatih dan apa yang dimahukannya daripada saya.

"Saya cuba bantu rakan sepasukan dan dapatkan bantuan jaringan dengan kerap, itulah kekuatan saya. Kami juga sudah tidak sabar untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil lagi," katanya.

Pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT) itu sebelum ini menerima status naturalisasi pada awal 2023 dengan dia kini sudah mencatatkan lima penampilan.

Endrick juga dikatakan sebagai salah seorang pemain yang dijangka akan dibawa Pan-gon untuk aksi Piala Asia tahun depan berdasarkan persembahannya sebelum ini. — The Star/K M Boopathy

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram