Bobie sambut kehadiran pencabar baharu sukan permotoran dari Selatan


  • Podium
  • Isnin, 09 Okt 2023

Hafizh Syahrin bakal jadi taruhan JDT Racing Team yang akan mula berlumba pada 2024. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SUKAN permotoran di negara kita mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Kancah ini sentiasa meriah dengan pelbagai kejohanan yang dianjurkan sepanjang tahun.

Dari penganjuran kejohanan permotoran inilah lahir ramai jaguh dalam sukan ini seperti Hafizh Syahrin, Khairul Idham Pawi dan sebagainya.

Kini telah muncul satu lagi pasukan yang bakal menggegar dunia permotoran negara. Pada Ahad lalu, kelab Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) telah mengumumkan kemunculan mereka dalam sukan permotoran.

Dalam kenyataan mereka, JDT menerusi JDT Racing Team akan menyertai dunia permotoran negara pada tahun 2024. Sebagai taruhan, JDT memilih Hafizh sebagai pelumba mereka.

JDT Racing Team bercadang untuk menyertai kejohanan Asia Road Racing Championship (AARC) pada tahun 2024 dengan misi mereka untuk melayakkan diri ke Superbike World Championship.

"JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak," kata JDT dalam kenyataan mereka.

Penyertaan JDT dalam dunia permotoran ini telah menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin untuk memberikan respon.

Dalam hantarannya di laman TBG Super Fan, Bobie mengatakan yang dia mengalu-alukan cabaran dari warga Selatan negara dalam dunia permotoran.

"Saja nak beritahu, dengar ada pencabar baru tahun depan dari Selatan tanah air.

"Jadinya bola sepak pun ada, perlumbaan moto pun ada. Selamat datang ke AARC," kata Bobie.

Bobie bersama pasukannya, ONEXOX BMW TKKR Team merupakan juara untuk AARC bagi edisi 2023. Mereka muncul juara berganda apabila memenangi kategori pengeluar dan pelumba.

Pelumba mereka, Markus Reiterberger dari Jerman merupakan juara dengan mengutip 155.5 mata. Sementara satu lagi pelumba, Azlan Shah Kamaruzaman berada di kedudukan kelima dengan 93.5 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram