Kehadiran anak jati Terengganu dianggap nadi kebangkitan skuad Seladang


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Kebangkitan sedikit demi sedikit yang dilakar skuad TBG sememangnya mencuri perhatian ramai. — Facebook/Perak FC

KEBANGKITAN menakjubkan yang dilakar Perak FC sememangnya menjadi bahan bualan penyokong bola sepak tanah air yang terus curiga dengan rahsia di sebaliknya.

Bagi sesetengah pihak, kehadiran Yusri Che Lah yang menggantikan ketua jurulatih terdahulu, Datuk Lim Teong Kim merupakan kunci utama mereka.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman mendalam, personalitinya yang sering menaikkan moral pemain boleh dianggap sebagai elemen terbaik buat anak jati Kangar, Perlis itu.

Selain itu, Yusri juga dilihat kerap memberikan minit permainan terhadap anak-anak buahnya yang sebelum ini hanya memanaskan bangku simpanan.

Wan Zack Haikal Wan Noor merupakan salah satu pemain yang menerima manfaat terbaik di bawah kendaliannya apabila namanya kembali dijulang penyokong bola sepak tempatan.

Namun, ada juga wira yang tak didendang dalam skuad The Bos Gaurus (TBG) menjadi kunci di sebalik kebangkitan pasukan, tetapi kurang diberikan perhatian.

384407226_329322392981476_3476355733645886312_n

Azalinullah (kanan) kini dalam proses menaikkan semula kariernya. Facebook/Perak FC

Pemain tengah berusia 27 tahun, Azalinullah Alias boleh dianggap sebagai tonggak buat skuad kendalian Yusri setelah dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua Liga Super yang lalu.

Kariernya sebelum ini berdepan ancaman apabila menghadapi kecederaan terhadap ligamen krusiata anterior (ACL) sebanyak tiga kali ketika bersama Terengganu FC.

Bagaimanapun, setelah menerima rawatan secukupnya, anak jati Terengganu berkenaan terus mempamerkan bakatnya dalam mengawal tempo permainan skuad TBG.

Meskipun sumbangannya kurang diberikan perhatian, sebahagian penyokong pasukan Utara tanah air itu masih sempat memberikan pujian terhadapnya, termasuk pengguna laman Facebook, Silver Retro.

"Semangat juang dan kerja keras tinggi yang ditampilkan Azalinullah nyata membuahkan hasil yang positif dan sangat memberi impak pada kebangkitan luar biasa yang sedang dibina pasukan Perak FC ketika ini.

A948E7F4-33A2-4A44-86E8-9EB78A33D40A

Azalinullah menghabiskan majoriti daripada kariernya bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Bekas pelatih skuad Harimau Muda C itu dilihat mula menyerlahkan kebangkitan ketika Perak melakukan kunjungan ke Likas, Sabah pada peringkat suku akhir Piala Malaysia tempoh hari," tulisnya.

Sejak menyertai Perak FC, Azalinullah sudah meraih tujuh penampilan Liga Super dengan Yusri kerap menurunkannya di samping kapten pasukan, Luciano Guaycochea.

Berdasarkan persembahannya di atas padang, pemain berkenaan diberikan peranan melakukan hantaran di samping mematahkan gerakan pihak lawan menggunakan pengalamannya.

Selain Silver Retro, beberapa penyokong Perak FC yang lain turut mengangkat namanya dengan mereka berharap dia dapat beraksi dengan konsisten buat skuad TBG pada masa akan datang.

"Memang dia mantap. Disebabkan dia, Luciano sudah ada gandingan terbaik. Hal kecederaan usah khuatir sebab Perak FC sudah membuatkan beberapa pemain sembuh," ujar Afiiq Hassan.

"Bagus dia ni, saya punya pendapat dia ni ala-ala Ahmad Sharul Azhar. Tenang dalam mengawal bola, itu pendapat saya lah," kata Mohd Zubairi Hm Nor.

"Aku memang minat dia ni. Tenang dan tidak mudah gelabah, main pun bersungguh-sungguh. Semoga terus meningkat naik," kata Azizol Zaidi pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram