JOHOR Darul Takzim (JDT) terus gah di persada liga pada musim ini selepas melengkapkan kejayaan 'Perfect 10' kejuaraan Liga Super 10 kali berturut-turut pada Sepetember lalu dengan menyaksikan PDRM FC ditewaskan 4-0 untuk mengesahkan kemenangan.
Menjadi satu-satunya kelab bola sepak domestik yang muncul juara 10 musim berturut-turut selepas kali pertama memenangi trofi pada musim 2014, sudah pasti meletakkan Harimau Selaran di tahap berbeza dengan pasukan lain.
Selain cemerlang di saingan domestik, Harimau Selatan juga membuktikan bahawa mereka bukan sekadar ‘jaguh kampung’ apabila mudah menundukkan wakil Thailand, BG Pathum United 4-2 pada saingan Liga Juara-Juara (ACL).
Kejayaan Harimau Selatan itu sudah tentunya dicemburui oleh pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang lain dan pasti mereka turut tertanya-tanya formula digunakan oleh JDT untuk kekal konsisten mendominasi saingan domestik.
Arif Aiman Hanapi ketika membantu JDT menang 4-2 pada aksi ACL. – Facebook/JDT
Walaupun ramai yang mengatakan bahawa kewangan Harimau Selatan membezakan juara bertahan Piala Malaysia itu dengan kelab lain namun penyokong JDT mempunyai pendapat berbeza.
Tidak menafikan kewangan yang kukuh mendorong kejayaan JDT, namun bagi penyokong skuad The Southern Tigers, Ahmad Sadeq menyatakan empat faktor utama lain menjadi kelebihan utama kelab Selatan tanah air itu masih sukar digugat.
“Aku pecahkan rahsia macam mana nak jadi hebat macam JDT sebagai penyokong JDT. Pertama bukan sebab kewangan dan fasiliti puncanya tetapi tak dinafikan perkara itu juga salah satu puncanya tetapi pada pandangan aku itu cuma 15 peratus sahaja.
“Dari pemerhatian aku sejak permulaan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) ambil alih JDT, ada empat sebab utama bagaimana JDT kuat secara berterusan. Pertama, kepakaran pegawai nasihat CEO (ketua pegawai eksekutif) dari luar negara. Alistar Edwards buat masa sekarang bersama JDT.
“Tujuan penasihat ini adalah sentiasa member idea tentang perkara yang perlu ditambah mengikut era bola sepak moden kepada CEO. Kedua, DNA club. DNA kelab yang JDT pekenalkan tak silap sejak 2017 adalah falsafah Total Football. Setiap kali nak tukar coach, coach itu mesti gaya dia adalah tidak terkeluar dari taktikal Total Football,” tulisnya.
Selain itu, penyokong berkenaan turut berpendapat bahawa barisan kejurulatihan yang profesional juga menjadi penambah perasa untuk Harimau Selatan melengkapkan trofi di kabinet mereka saban tahun.
Haydee sebelum ini berkhidmat untuk JDT selama tiga musim sejak 2019. — Instagram/Haydee
Misalnya, pemain ke-12 JDT itu mengambil contoh bekas pakar analisis Harimau Selatan, Haydee Agras mempunyai kualiti setanding Eropah dan kini dia difahamkan bertugas bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brentford.
“Ketiga, barisan kejurulatihan yang profesional. Bukan hanya pengendali utama perlu ada nama tetapi barisan coach juga perlu profesional. Antara yang perlu diberi keutamaan selain pembantu coach yang lain ialah coach analisis profesional. Sebagai contoh JDT pernah hire pakar analisis, Hyde Agras, yang mana sekarang, dia sedang berada di kelab EPL selepas JDT memilikinya.
“Keempat, tidak terlalu tukar pemain terlampau ramai untuk mengekalkan DNA Total Football menjadi semakin sebati di dalam team. Pada pandangan aku apabila dah dapat 4 faktor ini team akan menyusul lebih kuat dengan automatik,” tambahnya.
Sekiranya kelab lain masih berhasrat untuk merampas takhta JDT, empat faktor yang dinyatakan penyokong itu mungkin jawapan untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram