DI sebalik kemenangan Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan wakil Thailand, BG Pathum United 4-2 di Stadium Phatum Thani, Bangkok, Thailand dalam aksi kedua Kumpulan I saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) 2023 pada Selasa, muncul berita mengejutkan dari Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.
Pemilik kelab dengan jolokan Harimau Selatan itu mendedahkan bahawa beliau dan keluarga antara mangsa ketika kejadian tembakan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah mewah Paragon, Bangkok, Thailand pada Selasa.
Menerusi perkongsiannya di laman Twitter miliknya, TMJ menceritakan pengalaman berkenaan yang mana beliau dan keluarga mendengar bunyi tembakan ketika sedang berada di lobi hotel penginapan mereka.
“Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat beli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
“Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku.
“Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.
“Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku. Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis,” kongsinya.
Tangkap layar perkongsian TMJ di laman Insta Story.
Menurut TMJ, beliau dan keluarga berhasil keluar daripada kawasan berkenaan apabila pasukan keselematannya membawa kereta ke ruang bawah tanah untuk ke lokasi selamat.
Malah, Tunku Ismail juga tanpa membuang masa menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memaklumkan apa yang berlaku.
“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut. Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.
“Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan kita untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami," tambahnya.
Walaupun terlepas perlawanan JDT menentang BG Pathum namun TMJ bersyukur kerana dapat melarikan diri dari kejadian ngeri berkenaan dan menurutnya ia adalah pengalaman terburuk yang pernah dilaluinya.
Laporan Majoriti sebelum ini menyatakan bahawa kes itu tercetus apabila beberapa pengunjung terdengar bunyi tembakan dari arah tandas pusat beli belah berkenaan yang seterusnya menyebabkan orang ramai bertukar panik dan segera menyelamatkan diri masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram