Tenang kawal bola dan masih muda, bintang import bakal jadi projek naturalisasi Selangor?


  • Podium
  • Khamis, 05 Okt 2023

Agyarkwa boleh dinaturalisasikan oleh Selangor jika dia kekal beraksi sehingga 2025 dalam Liga Super.

JOHOR Darul Takzim (JDT), Kuala Lumpur City FC (KL City), Sri Pahang FC dan Terengganu FC (TFC) antara pasukan menggunakan khidmat pemain naturalisasi musim ini bagi memperkuatkan skuad mereka untuk bersaing dalam Liga Super.

Kehadiran pemain seperti Sergio Aguero, Endrick dos Santos, Paulo Josue ternyata memberikan impak segera buat pasukan yang diwakili mereka.

Namun ada juga pemain naturalisasi yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama sekali gus sukar mendapat peluang beraksi bersama skuad kebangsaan.

Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula antara pemain naturalisasi yang boleh dikatakan sudah hilang dari radar bola sepak negara.

Tetapi tidak boleh dinafikan kehadiran pemain naturalisasi itu sememangnya memberikan impak kompetitif dalam Liga Malaysia.

Alex

Agyarkwa tampil dalam 15 perlawanan bersama Selangor musim ini.

Selangor FC mungkin memiliki pemain naturalisasi baharu jika Alex Agyarkwa kekal beraksi bersama Gergasi Merah sehingga 2025 selepas melihat prestasi konsisten pemain berusia 23 tahun itu sejak 2021.

Malahan penyokong Selangor, Harith Danial Jo turut memberi pandangan tentang kelebihan yang dimiliki Agyarkwa sejak ketibaannya di bumi Darul Ehsan.

"Seorang (pemain) yang masih muda, tapi Agyarkwa pemain paling 'underrated' dan patut mendapat pujian dari dulu.

"Musim lepas memang dia 'perform' bawah Tan Cheng Hoe, sejenis pemain yang boleh 'handle' tekanan dan kawal tempo permainan.

"Masih ingat final Piala Malaysia, yang mana Agyarkwa tenang berhadapan dengan Afiq Fazail seorang 'defensive midfielder' terbaik dalam Malaysia.

"Cuma harap dia terus konsisten dan 'improve', tak lama lagi mungkin Malaysia akan panggil dia selepas dinaturalisasikan," katanya.

Kontrak TMJ

Antara butiran kontrak yang didedahkan oleh TMJ berkaitan Sumareh pada September 2020.

Namun timbul persoalan dalam kalangan penyokong Selangor adakah pemain kelahiran Ghana itu akan menjadi pemain kedua Afrika menjadi bintang naturalisasi seterusnya selepas Sumareh?

Sebelum ini, Selangor pernah cuba untuk mendapatkan Sumareh namun perbincangan di antara kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan.

Malah pada September 2020 pemilik JDT, Tengku Mahkota Johor (TMJ) memuat naik kontrak yang ditawarkan Selangor kepada Sumareh sekali gus menjadi perbualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak.

Dalam pendedahan tersebut, Tunku Ismail turut memuat naik beberapa keping gambar perbualan antara pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Sumareh yang menyaksikan pemain kelahiran Gambia itu ditawarkan gaji AS17,000.00 (RM70,482) sebulan.

Malah, FAS juga didakwa telah menyediakan salinan kontrak kepada Sumareh dengan menyebut beberapa kelebihan lain yang akan dinikmatinya termasuk telah menetapkan klausa perlepasan RM3 juta sekiranya mana-mana pasukan mahu mendapatkan khidmat pemain itu.

Bagaimanapun, menerusi perbualan WhatsApp dengan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, bekas pemain Pahang itu mahu FAS menaikkan gaji kepada AS20,000 (RM82,171) sebulan untuknya menandatangani kontrak selama dua musim bermula 21 Januari 2021 hingga 20 Januari 2023.

Usaha FAS itu bagaimanapun tidak berhasil dengan tonggak sayap Harimau Malaya itu akhirnya memilih kelab Thailand, Police Tero FC musim berikutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram