FAS pernah sokong penuh hasrat TMJ jadi Presiden FAM


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

TMJ hanya bergelar Presiden FAM selama setahun sebelum memberikan fokus yang sepenuhnya terhadap MFL.

KEGAGALAN Selangor FC untuk menempah slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 setelah disingkirkan Terengganu FC mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air.

Bagi mereka, penyingkiran berkenaan menandakan skuad Gergasi Merah berdepan kemarau kejuaraan untuk tahun kelapan selepas kali terakhir meraih kejayaan dalam Piala Malaysia 2015.

Situasi berkenaan turut mencuri perhatian pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim yang mengambil kesempatan untuk mengkritik pasukan Lembah Klang itu.

Berdasarkan beberapa hantaran di InstaStory peribadinya, kegagalan berkenaan berpunca daripada mentaliti pihak pengurusan Selangor FC merupakan punca di sebalik masalah pasukan.

Jelasnya, sepanjang lapan tahun berada di bawah pengurusan baharu, skuad Gergasi Merah kerap menipu penyokong di samping terlalu mudah mendabik dada.

TMJ-1-6

TMJ sememangnya dikenali dengan sikapnya yang menegur Selangor FC secara terbuka.

Teguran berkenaan sudah tentu menimbulkan tanda tanya sama ada TMJ mempunyai hubungan kurang baik dengan juara Piala Malaysia 33 kali berkenaan.

Ini kerana sebilangan penyokong bola sepak tanah air berpendapat pemilik JDT itu sudah tidak perlu lagi memberi perhatian terhadap skuad Gergasi Merah memandangkan pasukannya berada di tahap cukup berbeza hari ini.

Bagaimanapun, hubungan tegang itu bukanlah sesuatu yang berpanjangan memandangkan Persatuan Bola Sepak Selangor pernah memberi sokongan penuh terhadap TMJ.

Perkara tersebut berlaku kira-kira lapan tahun lalu, iaitu ketika TMJ sedang dalam usaha merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan, badan bola sepak negeri itu cukup percaya dengan kebolehannya untuk membimbing hala tuju Harimau Malaya melihat kepada kejayaan JDT di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

SG22_230217_c2173888_17224_290_ARCH429777_MG403765

Subahan merupakan salah seorang individu dalam FAS pada 2016 yang memberi sokongan penuh terhadap TMJ.

Menurut Naib Presiden FAS ketika itu, Datuk Seri Subahan Kamal, persatuan berkenaan akan memberi sokongan penuh jika TMJ berjaya memenangi pemilihan untuk jawatan presiden itu.

Hasrat berkenaan berjaya direalisasikan apabila pada 2017, TMJ dilantik sebagai Presiden FAM yang menggantikan bekas presidennya, Sultan Abdullah Sultan Ahmad.

Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya bersama badan induk bola sepak negara itu tidak berpanjangan apabila pada Mac 2018, dia memilih untuk meletakkan jawatan.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setelah memberi bantuan dalam menyelesaikan isu-isu dalaman FAM, termasuk dari segi kewangan serta pengurusan.

Kini, TMJ sekali lagi memberikan tumpuan penuh terhadap pembangunan JDT dengan skuad Harimau Selatan sudah berada dalam buku sejarah bola sepak negara sebagai salah sebuah pasukan terbaik tempatan pernah disaksikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram