[VIDEO] Jamie Vardy tiru gaya bekas penyerang Arsenal raikan gol kemenangan


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Vardy menyempurnakan penalti sebelum berlari ke arah zon penyokong lawan untuk meraikan jaringannya.

BEKAS pemenang Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL), Jamie Vardy sememangnya cukup terkenal dengan sikapnya yang berwarna-warni di dalam mahupun di luar padang.

Selain bijak menggunakan helah untuk mengganggu konsentrasi pemain lawan, penyerang berkenaan turut berkali-kali melakukan aksi menggelikan hati yang berjaya dirakam.

Baru-baru ini, bekas pemain antarabangsa England itu sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila melakukan keraian gol cukup mencuri perhatian.

Dalam aksi Liga Kejuaraan pada Sabtu, Vardy yang kini bersama Leicester City menyempurnakan penalti ketika berdepan Bristol City FC di laman sendiri.

Dia yang menjadi sasaran penyokong lawan sepanjang permainan kemudiannya bertindak berlari menuju ke arah penyokong sambil menolak peluang meraikannya bersama rakan sepasukan.

Jaringannya itu dilihat cukup bermakna buat skuad The Foxes yang mengakhiri aksi berkenaan dengan kemenangan tipis untuk mencuri tempat teratas dalam Liga Kejuaraan selepas lapan perlawanan.

Cara keraian Adebayor ketika menjaringkan gol berdepan Arsenal pada 2009.

Namun, cara keraian Vardy itu menjadi topik perbualan hangat apabila penyokong bola sepak serta media antarabangsa mula membandingkannya dengan bekas penyerang Manchester City, Emmanuel Adebayor.

Kejadian sebegitu sebelum ini pernah berlaku ketika pemain antarabangsa Togo itu berdepan pasukan lamanya, Arsenal dalam satu aksi EPL di Stadium Etihad, Manchester.

Tindakan Adebayor berkenaan dikatakan berpunca daripada rasa dendamnya terhadap kelab London itu yang dilaporkan tidak menawarkannya kontrak baharu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram