Drama berterusan, Ten Hag paksa Sancho makan dan berlatih dengan budak akademi Man United


  • Podium
  • Selasa, 26 Sep 2023

Konflik antara Jadon Sancho dan Erik ten Hag masih lagi belum menemui jalan penyelesaiannya. — Agensi

DRAMA antara Jadon Sancho dengan pengurus Manchester United, Erik ten Hag kini memasuki episod baharu. Selepas kedua-dua pihak saling bercakaran secara terbuka, tiada tanda-tanda kedamaian akan diraih dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Ten Hag secara terbuka mengatakan Sancho tidak berlatih dengan baik selepas kekalahan United kepada Arsenal dalam aksi English Premier League (EPL).

Sancho berasa dirinya telah dijadikan kambing hitam, terus menafikan apa yang dikatakan oleh Ten Hag di media sosialnya. Pengurus dari Belanda itu kemudiannya mahu pemain sayap tersebut memohon maaf kepadanya.

Namun begitu, permohonan maaf itu masih belum lagi dibuat walaupun Sancho dikatakan sudah memadam siaran di media sosialnya berkenaan Ten Hag.

jadon-sancho_169

Sancho masih belum memohon maaf kepada Ten Hag. — Agensi

Oleh kerana itu, Ten Hag mengambil tindakan lebih tegas terhadap Sancho dengan mengharamkan pemain tersebut daripada menjejaki sebarang fasiliti untuk pasukan utama United.

Ten Hag melarang Sancho daripada mendekati kompleks latihan pasukan utama United termasuklah dewan makan buat bintang-bintang The Red Devils. Tindakan pengurus itu memaksa pemain sayap England tersebut berlatih dan makan di fasiliti yang disediakan untuk pemain-pemain akademi United.

Sancho dikatakan kecewa dengan tindakan Ten Hag tersebut, namun pemain itu dikatakan tidak akan memohon maaf kepada pengurusnya selepas apa yang terjadi.

Hubungan antara kedua-dua individu itu dilihat begitu tegang dan seolah-olah tiada penamat kepada konflik antara Sancho dan Ten Hag. Jalan terbaik yang boleh dicapai adalah Sancho mengalah dan akhirnya memohon maaf kepada Ten Hag.

Sebelum ini, Sancho dilaporkan sering lewat ketika sesi latihan selain daripada tidak berlatih mengikut standard ditetapkan oleh Ten Hag. Disebabkan itu, namanya mula disisihkan ketika United bertandang ke Arsenal.

Konflik antara dua figura ini hanya akan merugikan United. Jika ini berlarutan, karier Sancho dilihat dalam bahaya dan boleh terdedah kepada ancaman penurunan prestasi mendadak.

United yang kini telah kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Burnley, akan turun bertemu Crystal Palace dalam Carabao Cup. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram