Dianggap 'generational talent', ini 3 kualiti Arif Aiman persis legenda Malaysia terdahulu


  • Podium
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Arif Aiman dianggap sebagai wira bola sepak moden Malaysia. — Facebook/FAM

BOLA sepak di negara kita tidak pernah sunyi daripada menghasilkan pemain cemerlang merentas pelbagai zaman.

Sejak dari dulu, ada sahaja nama-nama yang muncul menjadi wira bola sepak negara walaupun Malaysia bukanlah kuasa besar dalam sukan ini.

Jika sebelum ini, kita ada penyerang legenda iaitu Mokhtar Dahari dan selepas itu nama-nama seperti Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh diangkat sebagai yang terbaik dalam kalangan terbaik dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Kini di era moden, muncul pula nama baharu yang akan mewarisi kehebatan legenda terdahulu. Sebelum ini, kita ada Safee Sali sebagai wira moden bola sepak Malaysia dan sekarang ada Arif Aiman pula.

376701870_1007869516952951_337475425173448001_n

Arif dianggap permata bola sepak negara. — Facebook/FAM

Mungkin terlalu awal untuk mengatakan Arif sebagai legenda bola sepak negara tetapi pada usia muda, dia sudah menonjolkan kualiti permainan persis legenda terdahulu.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap persamaan antara corak permainan Arif dengan legenda-legenda Malaysia yang terdahulu:

1. Mokhtar Dahari (penyudah)

Mungkin terlalu berlebihan untuk mengatakan kualiti Arif dari segi penyudah menyamai apa yang Mokhtar miliki. Akan tetapi, pemain tersebut mula menuju ke arah itu dalam aspek tersebut.

Mokhtar sememangnya dikenali sebagai pemain yang cukup mantap dalam melakukan penyudah. Mana-mana lawan yang ditempuhnya berjaya dibolosi oleh Mokhtar termasuklah kelab Inggeris iaitu Arsenal.

mokhtar-dahari_j914

Terbaik sepanjang zaman, itulah Mokhtar Dahari. — Agensi

Perkara ini dapat dilihat menerusi Arif yang tiada masalah menghasilkan pelbagai jaringan untuk skuad Johor Darul Takzim (JDT) dan Malaysia. Kualiti penyudah serta keberanian melakukan percubaan jelas menjadi Arif antara penyerang yang bahaya kepada pemain lawan.

Malah, pada musim ini, Arif adalah penjaring kedua terbanyak dalam kalangan pemain tempatan di Liga Super dengan tujuh gol.

Arif mampu menghasilkan jaringan dengan rembatan deras. Mungkin di JDT dia dibayangi oleh Bergson da Silva dan Fernando Forestieri tetapi apabila Arif menggegar jaring, tumpuan pasti tertumpu kepadanya.

2. Dollah Salleh (kepantasan)

Arif dikenali kerana larian-larian deras serta kelincahan apabila bergerak dari sebelah sayap baik bersama-sama JDT atau Malaysia.

Larian deras dimiliki Arif amat berguna setiap kali JDT atau Malaysia menyerang dari sebelah sayap. Ia memberikan ancaman kepada pihak lawan apabila Arif menyerang baik ketika cuba masuk ke dalam kotak penalti atau serangan balas pantas.

Larian deras Arif ini mirip apa yang dimiliki oleh pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh sewaktu zaman bermainnya.

dollahsalleh1985

Dollah Salleh terkenal dengan gandingan bersama Zainal Abidin Hassan semasa bermain. — Agensi

Dollah yang terkenal kerana gandingannya bersama-sama Zainal Abidin Hassan satu masa dahulu juga merupakan penyerang yang berbahaya ketika zaman bermainnya.

Selain tajam di depan pintu gol, Dollah juga merupakan pemain yang pantas dalam lariannya. Pergerakan laju beliau menggerunkan pihak lawan dan ini dapat dilihat menerusi Arif pada hari ini.

Arif yang bertubuh kecil mempunyai kelebihan dari segi kestabilan badan dan ini membantu pemain itu untuk menghasilkan larian pantas.

3. Safee Sali (kelincahan)

Dianggap sebagai penyerang moden terbaik Malaysia, Safee akan sentiasa dikenang sebagai penyerang yang cukup tajam di pintu gol terutamanya ketika membantu Malaysia menjuarai Piala AFF 2010.

Namun begitu, selain daripada ketajaman di pintu gol Safee turut mempunyai kelincahan atau explosiveness dalam pergerakannya.

Pergerakannya itu menghasilkan corak permainan yang ranggi (flamyboyant) sekali gus membuatkan penyokong terpesona dengannya.

Safee dianggap legenda moden bola sepak Malaysia. — Agensi

Begitu juga dengan Arif, pemain JDT ini mempunyai kelincahan dan ranggi yang sama seperti Safee dan ini membuatkan pihak lawan begitu ketat mengawal pergerakannya.

Ranggi yang ada pada Arif telah membuatkan pihak lawan tiada cara lain selain perlu mengasarinya ketika melakukan larian deras dari sebelah tepi padang.

Ini menyebabkan pihak lawan akan memberikan sepakan percuma atau penalti kepada pasukan diwakili Arif dan ia sekali gus memberikan peluang untuk menjaringkan gol.

Legenda dalam pembikinan

Arif mungkin mempunyai persamaan dengan beberapa pemain sebelumnya, tetapi seeloknya biarlah dia menyerlah dengan caranya sendiri tanpa perlu dibayangi nama lain.

Perjalanan karier pemain ini masih lagi panjang. Diharapkan kehebatannya akan terus mekar dan dilindungi daripada terjerat dengan kontroversi luar padang atau kecederaan serius.

Semoga terus mekar, Arif Aiman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram