Disisih Ten Hag, Sancho luang masa tonton aksi 'adik-adik' Man United


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Sancho (kiri) dan ten Hag sedang dalam hubungan dingin selepas kenyataan daripada kedua-dua pihak baru-baru ini. — Agensi

KONFLIK dalaman dialami Manchester United dilihat sudah semakin teruk beberapa minggu kebelakangan ini sehingga memberi kesan terhadap persembahan mereka di atas padang.

Antara isu yang menjadi perhatian ramai adalah berkaitan pertelingkahan antara pengurus kelab, Erik ten Hag dan penyerang sayap antarabangsa England, Jadon Sancho.

Konflik terbabit muncul selepas kekalahan dialami skuad The Red Devils di tangan Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 3 September lalu.

Menurut pengurus kelahiran Belanda itu, Sancho dikatakan beraksi dengan tidak memuaskan sejak awal musim, sekali gus terpaksa disisihkan daripada skuad berkenaan.

Berang dengan kenyataan berkenaan, Sancho bertindak membalasnya menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya, namun ia sudah ditarik semula.

Jadon Sancho watches Manchester United's U18s play at Carringtonhttps://twitter.com/UtdPlug/status/1703017975140225259https://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-12525765/Exiled-Jadon-Sancho-watches-Man-Uniteds-U18s-play-Carrington-Erik-ten-Hags-team-squad-prepare-play-Brighton-Premier-League.html

Sancho (kiri) kelihatan ketika aksi Manchester United B-18 pada Sabtu.

Tetapi, konflik itu tidak terhenti di situ apabila pemain berusia 23 tahun berkenaan menegaskan bahawa dia tidak akan meminta maaf terhadap ten Hag.

Situasi terbabit menyaksikan Sancho kemudiannya diarahkan berlatih secara bersendirian dengan alasan kehadirannya akan memberi kesan terhadap keharmonian di sebalik tabir.

Tidak cukup dengan itu, sekeping foto mula bertebaran baru-baru ini memaparkan bekas penyerang Borussia Dortmund berkenaan sedang menonton aksi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) Manchester United.

Dia yang ditemani seorang staf kejurulatihan The Red Devils dilihat mengenakan hoodie dengan wajahnya agak kusam sehingga menimbulkan lebih banyak teka teki.

Arahan untuk diketepikan daripada pasukan menyaksikan Sancho terlepas aksi EPL menentang Brighton & Hove Albion pada Sabtu dengan Manchester United mengalami kekalahan 1-3.

Skuad kendalian ten Hag kini berada di tangga ke-13 liga dengan hanya enam mata diraih selepas lima perlawanan, termasuk mengalami tiga kekalahan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram