Tanpa Palestin, pakar saran 3 negara main secara round-hobin gamatkan Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Isnin, 09 Okt 2023

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Malaya menjelang Kejohanan Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM

KEJOHANAN Pestabola Merdeka 2023 bakal berlangsung pada 13 hingga 17 Oktober nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kejohanan itu mungkin mengalami perubahan kecil dari segi pasukan yang bertanding selepas pasukan Palestin dijangka menarik diri daripada pertandingan tersebut.

Terdapat desas-desus mengatakan yang skuad kebangsaan Palestin kini terperangkap dan tidak mampu untuk terbang keluar ke luar negara termasuk Malaysia bagi menghadiri kejohanan tersebut.

WhatsApp Image 2023-10-09 at 20.55.51

Sebahagian sesi latihan skuad kebangsaan menjelang aksi Pestabola Merdeka 2023 pada Jumaat. — Facebook/FAM

Situasi luar jangka itu telah memberikan permasalahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

Bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh badan induk tersebut setakat ini.

Dalam pada itu, penganalisis sukan, Datuk Jamal Nasir Abdul Ismail tampil mengulas mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, Kejohanan Pestabola Merdeka tidak boleh dibatalkan pada ketika ini berikutan penjualan harga tiket perlawanan sudah pun terjual dan FAM perlu mempunyai plan B untuk mengatasi situasi seperti ini.

"Kejohanan Pestabola Merdeka tak boleh dibatalkan sebab tiket sudah dijual dan takkan nak return balik kan. Keadaan ini di luar jangkaan, jadi kita kena terima.

"Hopefully mereka boleh datang tapi FAM kena ambil plan B jika mereka tidak datang," katanya kepada Majoriti.

Berikutan perkara itu, Jamal berkata, perlawanan itu perlu diteruskan meskipun akan mengalami perubahan format iaitu pertandingan antara tiga negara (tri-nation).

Tambahnya lagi, format kejohanan perlu ditukar kepada round-hobin dengan ketiga-tiga negara perlu beraksi dua perlawanan dengan menentang sesama sendiri.

"Kita kena main macam round-robin dengan ketiga-tiga negara perlu beraksi dua perlawanan," jelasnya.

Meskipun FAM belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut, Jamal bagaimanapun berasakan pasukan Palestin tidak akan menyertai kejohanan ini.

"Tapi, pada pandangan saya, kemungkinan besar Palestin tidak akan menyertai kejohanan ni.

"Mustahil mereka nak tinggalkan keluarga yang kita tahu negara mereka sedang berperang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram