Cedera jatuh 6 meter, pegawai polis bangkit, kejar dan berkas suspek bawa syabu di Klang


  • 112
  • Isnin, 09 Okt 2023

Hussein (tengah) ketika melawat Mohammad Azrin yang sedang menerima rawatan di Hospital Pantai, Klang. — Polis

SEORANG pegawai polis cedera di kaki selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter semasa mengejar seorang suspek yang dipercayai memiliki dadah pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian pada kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika Inspektor Mohammad Azrin Yazid, 32, mengetuai sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menyerbu sebuah kedai di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.

Sebaik tiba di lokasi, beliau berkata, pagar dan pintu premis itu didapati bertutup, menyebabkan Mohammad Azrin perlu memanjat bumbung depan sebelum kemudiannya melihat suspek berlari ke bumbung rumah bersebelahan.

"Semasa hendak turun, paip dipegang Mohammad Azrin patah menyebabkan dia terjatuh pada ketinggian kira-kira enam meter, namun tetap mengejar suspek dan menahannya di koridor kedai tersebut,” katanya satu dalam kenyataan.

Menurut Hussein, pemeriksaan terhadap beg silang kecil berzip pada badan suspek menemukan dua peket plastik disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 104.1 gram.

Beliau berkata, Mohammad Azrin melakukan pemeriksaan lanjut di Hospital Pantai, Klang selepas berasa sakit pada beberapa bahagian badan dan kemudian menjalani pembedahan pada kakinya serta kini berada dalam keadaan stabil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram