
HARI ini, orang ramai pastinya mengenali Badhri Radzi sebagai seorang pelakon dengan filem baharunya, 'Satu Hari Sebelum Raya' ditonton ramai pertengahan tahun lalu.
Namun, sekiranya ditanya kepada peminat bola sepak, mereka pastinya mengenali anak jati Kota Bharu, Kelantan itu sebagai salah seorang legenda tanah air.
Sumbangannya sejak menceburi bidang bola sepak kira-kira 20 tahun lalu sememangnya sukar dilupakan, lebih-lebih lagi bagi peminat dari negeri Pantai Timur berkenaan.
Kehadirannya sebagai seorang pemain tengah boleh dianggap cukup penting dengan hantarannya amat berkualiti di samping kebolehannya untuk menyekat serangan lawan.
Tidak cukup dengan itu, personaliti serta sikap kepimpinannya juga tidak boleh dipandang rendah apabila dia memikul tanggungjawab sebagai kapten Kelantan FA untuk beberapa tahun.
Piya meraih pelbagai kejayaan dan momen bermakna bersama skuad TRW.
Kredibiliti Badhri yang juga dikenali sebagai Piya membolehkannya menerima jolokan 'Captain Marvel' dengan gelaran terbabit terus diingati sehingga hari ini.
Jolokan tersebut dilihat cukup cocok untuk dirinya memandangkan pemain yang kini berusia 41 tahun terbabit berkali-kali membuktikan bahawa dia sanggup mengalirkan darah buat skuad The Red Warriors (TRW).
Hal berkenaan dapat disaksikan kira-kira 11 tahun lalu apabila dia sanggup beraksi buat pasukannya meskipun mengalami masalah kesihatan.
Ketika itu, Kelantan FA dijadualkan bertemu Selangor FA dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor.
Namun, pasukan berkenaan pada awalnya terpaksa melupakan khidmat Piya apabila mata pemain terbabit bengkak sehingga memberi kesan terhadap penglihatannya.
Piya (kiri) selepas kejayaan Piala FA 2012 di samping bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa.
Tetapi, masalah terbabit tidak menjejaskan semangat kapten skuad TRW itu memandangkan dia cukup bersemangat untuk membantu kelabnya mara ke peringkat akhir.
Ketegasannya untuk diturunkan akhirnya didengari pengendali pasukan ketika itu, Azman Ibrahim yang akur meskipun memahami risiko terhadap keputusannya itu.
Bagaimanapun, pendekatan berkenaan jelas membuahkan hasil apabila Piya berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan, sekali gus membawa Kelantan FA ke pentas akhir Piala Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut memastikan kejayaan di perlawanan akhir dengan kemenangan ke atas ATM FA sekali gus memastikan skuad TRW meraih kejuaraan treble domestik pada musim 2012.
Sehingga kini, Kelantan FA terus buntu untuk melahirkan seorang pemain dengan sikap kepimpinan seperti Badhri walaupun beberapa pemain sering dihasilkan pasukan belia mereka.
Jadi, tidak hairanlah apabila nama Piya masih meniti bibir penyokong Kelantan FA yang terus mengharapkan kepulangan pemain tersebut dalam barisan kejurulatihan skuad TRW. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram