JOHOR Darul Takzim (JDT) muncul juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas mudah menewaskan PDRM FC 4-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 27 September lalu.
Kini skuad kendalian Esteban Solari hanya perlu menghabiskan baki empat perlawanan iaitu menentang Kelantan United, Kuching City FC, Sri Pahang FC dan Penang FC.
Baki kesemua perlawanan itu penting buat JDT bagi mempertahankan rekod tanpa kalah dalam saingan liga domestik.
Skuad kendalian Esteban Solari yang memenangi empat trofi musim lalu kini sudah memiliki dua kejuaraan tahun ini selepas mempertahankan gelaran Piala FA
JDT juga masih di landasan terbaik untuk memenangi Piala Malaysia dengan melayakkan diri ke separuh akhir, selain sedang bersaing dalam Asia Champions League (ACL).
Kejayaan JDT itu bukan hadir sekelip mata tanpa perancangan rapi dan pihak pengurusan yang mahir dalam selok belok dunia bola sepak.
Kesebelasan utama JDT pada 2013.
Namun sebelum menemui kemanisan, JDT pernah dibelasah Kelantan FC dengan agregat 8-5 dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2013.
Ketika itu, Kelantan yang merupakan juara bertahan mencatatkan kemenangan besar 6-1 ke atas JDT untuk mara ke separuh akhir.
Ternyata, pengendali The Red Warriors (TRW) ketika itu, Bojan Hodak terkejut mampu membelasah Harimau Selatan dengan jaringan sebesar itu.
Ini kerana pada perlawanan pusingan pertama Kelantan tewas di tangan JDT dengan keputusan 2-4 sebelum bertandang ke Stadium Sultan Mohd IV, Kota Bharu, Kelantan.
"Ia sangat mengejutkan apabila melihat perlawanan satu pihak sahaja, pada awalnya saya agak bimbang apabila kami terlepas beberapa peluang.
"Tetapi pemain saya mempamerkan persembahan cemerlang sebaik sahaja kami mula 'settel down'.
"Pemain kecewa selepas tewas pada perlawanan pertama, mereka tahu mereka terlalu relaks. Kali ini mereka lebih tekad dan fokus,” katanya ketika itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram