KELANTAN United FC (KUFC) melakar kemenangan bergaya dengan agregat 11-0 selepas membelasah Kelantan FC 4-0 pada perlawanan timbal balik saingan Piala Cabaran di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu.
Sang Kijang Hijau yang turun dengan bekalan tujuh gol itu ternyata masih dahagakan jaringan apabila terus melancarkan serangan awal ke kubu Kelantan FC.
Mohd Syazwan Zainon, Morgaro Lima Gomis, Royizzat Daud dan S. Sarvin masing-masing menyumbat satu gol buat KUFC, sekali gus membantu pasukan itu layak ke peringkat separuh akhir.
Tidak berpuas hati dengan kekalahan di tangan Kelantan United, penyokong Kelantan mula menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak membayar gaji pemain-pemain The Red Warriors (TRW) punca utama mereka beraksi dengan teruk.
Sharvin antara pemain yang merobek gawang gol Kelantan. — MFL
Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid menafikan bahawa tunggakan gaji pemain adalah punca kepada prestasi semasa Kelantan FC sedang jatuh.
"Ramai yang masih bertanya tentang hal tunggakan gaji pemain sedangkan saya telah jelaskan posting terdahulu yang mana saya telah terangkan.
"Dengan tuduhan pemain bermain tidak bersungguh dalam setiap perlawanan yang mengakibatkan kita kalah kerana faktor gaji bagi saya ia tuduhan tidak berasas kepada pemain kita," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambahnya lagi, pemain-pemain Kelantan komited melakukan tanggungjawab di atas padang dan tahu mengenepikan masalah peribadi ketika beraksi di atas padang.
"Setiap pemain mereka berdisplin, komited, profesional setiap kali berada di padang, segala masalah peribadi termasuk masalah rumahtangga sekali pun bila mereka berada di padang mereka telah memberi fokus dan tumpuan 100 peratus kepada tugas dan peranan mereka.
"Dengan mengasingkan masalah itu tidak bawa bersama ketika mereka bermain di padang. Mohon keadilan kepada pemain agar tidak berlaku tuduhan sedemikan," jelasnya.
Sebelum ini, Kelantan terpalit dengan insiden kontroversi membabitkan pemain import Indonesia, Natanael Siringoringo yang sah meninggalkan TRW susulan tunggakan pembayaran gaji. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram