Tragedi Oktober tak pernah luput dalam ingatan Wan Zack


  • Podium
  • Ahad, 08 Okt 2023

Wan Zack Haikal sebelum ini merupakan prospek hangat bola sepak negara.

SATU masa dahulu, nama pemain Wan Zack Haikal menjadi bualan ramai hangat penyokong bola sepak Malaysia.

Muncul sebagai antara prospek hangat dalam skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee, bakat Wan Zack berjaya dikembangkan sehingga berhasil menyertai kelab Jepun iaitu FC Ryukyu.

Namun begitu, masanya di Jepun tidak lama, Wan Zack kemudiannya menerima kecederaan di bahagian lutut menamatkan masanya bersama-sama Ryukyu dan kembali ke Malaysia.

Wan Zack mengakui kecederaan lutut dialaminya boleh dianggap sebagai 'Tragedi Oktober' kerana ia terjadi sewaktu bulan tersebut. Ia sedikit sebanyak telah meninggalkan trauma kepada dirinya.

"Saya masih lagi trauma setiap kali Oktober datang. Saya rasa gelisah kerana bulan inilah saya mendapat kecederaan terburuk dalam karier saya," kata Wan Zack.

Kata-kata itu muncul selepas Wan Zack mendapatkan semula prestasinya dan berjaya membantu Malaysia menghidupkan cabaran dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2019 yang diadakan di Melaka pada 2017.

Kini pada 2023, Wan Zack mungkin sudah berjaya untuk tolak ke tepi trauma yang dialaminya pada 10 tahun lalu. Kini berusia 32 tahun, pemain tersebut berada pada prestasi terbaiknya bersama Perak FC.

Wan Zack kini menjadi nadi utama skuad kendalian Yusri Che Lah dalam misi membangunkan semula Perak yang dibarisi ramai pemain muda.

Wan-Zack-Haikal

Wan Zack Haikal cukup berbisa ketika menentang Sabah.

Prestasi baik Wan Zack telah membantu Perak melakar kejutan demi kejutan dalam Piala Malaysia. Persembahan cemerlangnya telah berjaya membantu Perak membenam Sabah FC bagi melayakkan diri ke separuh akhir.

Malah, pengaruh yang ada padanya telah memberikan impak positif kepada Perak. The Bos Gaurus juga telah berjaya mendapatkan prestasi terbaik dan mula melakukan pecutan terakhir sebelum Liga Super berakhir.

Potensi Wan Zack sebagai pemain mungkin tidak berjaya mencapai tahap yang diharapkan, tetapi pengaruh dan kualitinya sebagai bintang bola sepak sentiasa ada dan sentiasa mencuri perhatian ramai terutamanya penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram