Selain Sabah FC, 3 pasukan Liga Super pernah belasah kelab Indonesia di pentas Asia


  • Podium
  • Ahad, 08 Okt 2023

Sabah menewaskan PSM Makassar dengan keputusan 5-0 di halaman tuan rumah pada Khamis.

WAKIL Liga Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT), Sabah FC dan Terengganu FC mencatatkan keputusan positif dalam kejohanan Asia Champions League (ACL) serta Piala AFC yang mana mereka mengutip mata berharga bagi kumpulan masing-masing.

JDT satu-satunya wakil Malaysia dalam ACL berjaya menewaskan BG Pathum United dengan keputusan 4-2 yang mana bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi membuka akaun jaringan pertama di pentas tertinggi Asia.

Manakala Terengganu pula bangkit daripada ketinggalan mengikat Bali United 1-1 di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Sabah FC pula menjadi pasukan baharu yang merekodkan kemenangan besar ke atas kelab Liga Indonesia.

Pasukan manakah yang sebelum ini mencatatkan jaringan besar berdepan kelab-kelab negara jiran?

Majoriti senaraikan tiga pasukan Liga Malaysia yang pernah belasah kelab-kelab negara jiran:

1. Kelantan FA 3-0 Arema FC (2012)

Kelantan mencatat kemenangan pertama pada saingan Piala AFC apabila menewaskan Arema FC dari Indonesia 3-0 pada perlawanan ketiga kumpulan H di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan pada 4 April 2012.

Penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar menjadi wira The Red Warriors apabila melakukan hatrik melalui jaringan pada minit ke-23, 47 dan 89.

Kelantan yang bermain tanpa tonggak utama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan Azizi Mat Rose lebih banyak menguasai permainan pada perlawanan itu.

Pasukan lawan bagaimanapun cuba bangkit dengan melakukan beberapa asakan, namun percubaan lemah pasukan pelawat gagal mencipta jaringan.

Ini adalah kemenangan pertama Kelantan pada saingan peringkat kumpulan Piala AFC 2012.

2. Johor Darul Takzim (JDT) 3-0 Persija Jakarta (2018)

JDT melonjak ke tangga teratas Kumpulan H selepas mudah menewaskan kelab dari Indonesia, Persija Jakarta 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor dalam Piala AFC pada 14 Februari 2018.

Pada perlawanan itu, pengendali JDT, Ulisses Morais memberi kepercayaan kepada Farizal Marlias membuat penampilan pertama di gawang selepas tamat tempoh penggantungan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Malah perubahan taktikal juga dilakukan pengendali kelahiran Portugal itu apabila meletakkan Hariss Harun bergandingan bersama Fadhli Shas di benteng pertahanan selepas merehatkan Marcos Antonio yang belum pulih daripada kecederaan.

Dalam perlawanan itu, Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz dan Safawi Rasid yang menghasilkan gol buat JDT.

3. Kuala Lumpur City 5-2 PSM Makassar

Kuala Lumpur City (KL City) tidak berdepan masalah membenam PSM Makassar 5-2 dalam aksi final Zon Asean di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 24 Ogos 2022.

Pesta gol tuan rumah bermula dengan gol pendahuluan dijaringkan menerusi rembatan voli Romel Morales selepas berlaku kekalutan dalam kawasan kotak penalti PSM Makassar.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, Jordan Mintah melebarkan kedudukan menjadi 2-0 selepas menyudahkan hantaran kapten pasukan, Paolo Josue.

Tiga gol lagi dijaringkan oleh Zhafri Yahya, Paolo Josue dan Hadin Azman yang mana keputusan itu menyaksikan Kuala Lumpur layak ke pusingan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram