PERLAWANAN futsal Liga Sukan Komuniti anjuran Jabatan Belia dan Sukan yang berlangsung di Gelanggang Futsal, Jalan Tanjung Purun, Labuan kecoh apabila pemain dan penyokong kedua-dua pasukan terlibat dalam pergaduhan pada Sabtu.
Pergaduhan yang berlarutan kira-kira setengah jam dan tular di sosial media itu, menyebabkan kecederaan dan 18 individu berusia antara 17 dan 32 tahun ditahan.
Insiden berlaku pada pukul 1 tengah hari selepas ketegangan yang tercetus antara kedua-dua pasukan memuncak hingga melibatkan serangan fizikal seperti tumbukan, sepakan dan melontar objek.
Seorang pemain cedera di kepala ketika pergelutan yang memburukkan lagi keadaan ketika itu.
Timbalan Ketua Polis Labuan, Robin@Ridzuan Ismail mengesahkan kejadian itu dan pihak polis telah mengambil tindakan pantas.
"Kita telah menyaksikan rakaman video berdurasi 22 saat yang menunjukan pergaduhan itu dan individu terlibat dalam pergaduhan tersebut ditahan pada hari yang sama. Mereka direman tiga hari untuk siasatan lanjut,” katanya kepada media tempatan pada Ahad.
Menurutnya polis meminta saksi pergaduhan agar tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram