Saddil Ramdani tunai janji, bantu Sabah FC belasah PSM Makassar


  • Podium
  • Khamis, 05 Okt 2023

Hantaran bantuan Saddil Ramdani membantu Sabah FC raih tiga mata penuh di laman pasukan lawan. — Facebook/AFCCup

SABAH FC menepati jangkaan ramai apabila mudah menewaskan kelab Indonesia, PSM Makassar dengan keputusan 5-0 dalam perlawanan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia pada Khamis.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bermula garang apabila Darren Lok membuka tirai jaringan seawal minit keenam perlawanan apabila menanduk bola masuk hasil hantaran Saddil Ramdani.

Sang Badak yang dilihat lebih dominan dalam separuh masa pertama menambah jaringan pada minit ke-36 selepas Gabriel Peres berjaya menanduk bola masuk ke dalam gawang gol lawan hasil hantaran Saddil Ramdani.

Bersambung babak kedua, pasukan PSM Makassar gagal merobek benteng pertahanan Sang Badak malah The Rhinos dilihat menguasai perlawanan dan tidak mahu menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila sekali lagi Darren Lok mencetak jaringan ketiga buat Sabah pada minit ke-46.

WhatsApp Image 2023-10-05 at 22.18.08

Sebahagian aksi menarik antara pemain Sabah FC dan PSM Makassar. — Facebook/AFCCup

Masih mahu memberi saingan, tendangan percuma Stuart Wilkin berjaya disudahkan dengan baik pada minit ke-73 sekali gus mematahkan benteng pertahanan PSM Makassar.

Pada minit-minit akhir, Sabah FC meninggalkan momen manis dengan mencetak gol kemenangan menerusi jaringan Farhan Roslan hasil hantaran Miguel Cifuentes.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong memuji sikap pemain import kelahiran Indonesia yang dilihat menampilkan aksi yang cukup cemerlang walaupun bermain di negara sendiri.

Malah, sebelum perlawanan bermula, Saddil berjanji untuk mempamerkan aksi yang terbaik buat Sabah FC.

"Ini adalah aksi yang kami tunggu dan bersemangat untuk kami juga.

"Di mana bermain di kampung saya sendiri sebenarnya dan apa yang kami harapkan, boleh pamerkan yang terbaik," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Susulan itu, ramai penyokong Sang Badak memuji Saddil di atas sikapnya yang profesional itu yang bermain bersungguh-sungguh untuk pasukan Sabah.

"Terbaik Saddil. Kotakan janji untuk bantu Sabah. Radu Tatap Radu," kata Francis Mohd Fadly.

"Terbaik Sabah FC. Radu Tatap Radu, semoga kekalkan momentum. Mantap Saddil dua assist untuk Sabah," kata Nikenji Ly.

"Macam ni lah player kita mahu, walaupun bermain di negara sendiri tapi tampilkan prestasi terbaik untuk Sabah," kata Daryl Lim.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram