JUARA dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menjadi wakil tunggal negara untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Sukan Asia Hangzhou, yang bakal berlangsung pada Jumaat.
Pada saingan suku akhir pada malam Khamis, beregu di kedudukan kelima dunia itu terpaksa mengerah kudrat selama 81 minit, untuk mengatasi wakil tuan rumah Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-18, 19-21, 21-18 di Gimnasium Binjiang, Hangzhou, China.
Bagi memburu tempat ke final, Aaron-Wooi Yik yang merupakan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, akan mencabar gandingan nombor tiga dunia Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, yang mara selepas membelasah Nge Joo Jie-Johann Prajogo dari Singapura 21-7, 21-9.
"Kami agak gembira dengan tumpuan kami dalam gelanggang, walaupun set kedua kami mendahului 19-17, tetapi kalah. Set penentuan kami masih fokus, permainan dan momentum kami juga bagus. Untuk esok (Jumaat) kami akan bincangkan gaya permainan dengan jurulatih dan bersedia untuknya,” kata Aaron selepas aksi tersebut.
Bagi Wooi Yik, kemenangan tersebut yang mengesahkan sekurang-kurangnya sebutir gangsa untuk negara, sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan mereka.
Pada edisi lepas di Jakarta-Palembang, Indonesia, skuad badminton negara pulang tangan kosong apabila tiada wakil negara melepasi peringkat suku akhir.
Terdahulu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir, selepas kekalahan kepada beregu nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee daripada Korea Selatan 21-15, 11-21, 7-21.
Wakil perseorangan lelaki Ng Tze Yong pula tewas 20-22, 15-21 kepada pemain nombor tiga dunia, Kodai Naraoka dari Jepun.
Pemain meningkat naik Jepun itu, seterusnya akan berjumpa wakil tuan rumah Shi Yu Qi, yang menyingkirkan Chou Tien Chen dari Taiwan 21-18, 21-12.
Pada sesi pagi, perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia disingkirkan oleh HS Prannoy dari India 16-21, 23-21, 20-22, manakala beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas 14-21, 21-23 kepada juara bertahan dari China Zheng Siwei-Huang Yaqiong. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram