PEMAIN skuasy wanita negara, S. Sivasangari telah menunjukkan ketabahan dan tekad dalam acara final perseorangan untuk meraih pingat emas keduanya pada temasya Sukan Asia Hanghou 2022 pada Khamis.
Pemain berusia 24 tahun itu terpaksa melalui pertarungan sengit selama lebih sejam untuk menundukkan Chan Sin Yuk dari Hong Kong dengan keputusan 8-11, 15-13, 10-12, 11-9, 12-10, sekali gus menunjukkan ketahanan mental yang lkuat dan esuatu yang jarang ditemui dalam kalangan generasi atlet masa kini.
Bercakap kepada wartawan selepas menjadi pemegang pingat emas berganda itu berkata, kemalangan jalan raya yang mengerikan tahun lalu menyebabkan kecederaan kepala dan tulang belakang (C1) telah membantu memperkuatkan mentalnya dan meningkatkan semangat bertarung untuk menghadapi cabaran di dalam dan di luar gelanggang.
Sivasangari juga memenangi pingat emas dalam acara berpasukan wanita.
"Saya telah meningkatkan kekuatan mental dan itu merupakan faktor kelebihan berbanding dengan lawan atas kejayaan dalam acara perseorangan ini.
"Saya juga merasa tekanan kerana menjadi Pembawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian temasya sukan ini dan ia satu penghormatan. Saya bangga untuk menyumbang pingat emas kepada negara.
"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan ini selepas berjaya menukar warna pingat kepada emas daripada perak dan gangsa pada edisi lalu.
"Ini sangat emosional. Bagi saya, usaha keras sentiasa menjadi kunci kejayaan. Tahun lalu, saya berfikir, jika saya boleh kembali bermain lagi tetapi saya tidak pernah menjangkakan diri saya untuk membolot emas berganda. Selepas mengalami detik hitam itu, saya mendapat peluang kedua dan untuk kembali semula, " katanya.
Pemain ranking ke-37 dunia itu juga mendedahkan bahawa dia telah bekerja dengan seorang jurulatih khusus dalam bidang psikologi untuk memperkuatkan keyakinan dan mindanya.
Sivasangari atau lebih mesra disapa dengan panggilan Sangari itu mendedikasikan pencapaian ini kepada keluarganya serta jurulatih kebangsaan, Ajaz Azmat dan David Palmer di Universiti Cornell di Amerika Syarikat atas kepercayaan dan bantuan mereka dalam proses pemulihannya.
Selepas upacara penyampaian hadiah, Sangari segera bergegas ke Perkampungan Sukan untuk mengemas begnya dan berlepas ke Amerika Syarikat (AS) malam ini (Khami) untuk menyertai Kejohanan Terbuka AS yang akan bermula Sabtu ini.
Sabtu lalu, Sivasangari bersama-sama Rachel Arnold, Aifa Azman dan Aira Azman memenangi emas acara berpasukan selepas menewaskan juara bertatan, Hong Kong 2-1 pada perlawanan akhir.
Skuad skuasy negara mengharungi cabaran Sukan Asia kali ini dengan menyumbang tiga pingat emas dan masing-masing satu perak dan gangsa. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram