Tiada masalah skuad kebangsaan juarai Pestabola Merdeka — Legenda HM


  • Podium
  • Ahad, 08 Okt 2023

Sesi latihan pertama kem latihan pusat bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2023. — Facebook/FAM

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Reduan Abdullah optimis Harimau Malaya mampu menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka 2023 berdasarkan peningkatan prestasi yang ditampilkan oleh skuad negara itu baru-baru ini.

Berdepan aksi pertama menentang India Jumaat ini, Reduan yang pernah beraksi dalam perlawanan persahabatan Selangor XI menentang Boca Juniors di Stadium Merdeka pada 1982 bersama Datuk Mokhtar Dahari, yakin kelebihan berpihak kepada skuad kendalian Kim Pan-gon.

"Insya-ALLAH kalau ada peluang memang optimis untuk jadi juara. Saya tengok dari segi permainan, banyak peningkatan walaupun dilihat perlawanan menentang India nanti agak sengit,” katanya.

Beliau ditemui pemberita sebelum beraksi pada perlawanan Amal Uniti Pestabola Merdeka 2023 antara legenda Harimau Malaya menentang selebriti Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

reduan abdullah

Reduan ketika aksi persahabatan Selangor XI menentang Boca Juniors di Stadium Merdeka pada 1982.

Selepas India, Harimau Malaya akan berdepan sama ada Palestin atau Tajikistan dalam aksi final atau penentuan tempat ketiga pada 17 Oktober.

Bekas pemangku Ketua Jurulatih Melaka United musim 2022, Mohd Asri Ninggal, yang turut beraksi malam ini, pula memuji peningkatan prestasi yang ditonjolkan oleh pasukan negara.

"Dari segi ranking, Harimau Malaya sudah melonjakkan kedudukan. Pada kejohanan menentang India kelak, saya kira perlawanan ini 50-50 namun ia merupakan pendedahan yang baik kepada pasukan kita untuk membuat persiapan dalam pusingan akhir Piala Asia di Qatar Januari depan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram