Peserta wanita triathlon kritikal di HSM disahkan meninggal dunia


  • Podium
  • Ahad, 08 Okt 2023

Allahyarhamah Muhaini Mahmud. — Facebook

PESERTA wanita kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia, Allahyarhamah Muhaini Mahmud yang sebelum ini kritikal di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, Kedah disahkan meninggal dunia.

Perkara itu disahkan menerusi catatan di Facebook oleh rakan karibnya, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid.

Menerusi catatan itu, Nurul Hidayah berkata, beliau kehilangan seorang sahabat yang tidak pernah melupakan tarikh hari jadinya setiap tahun.

Kebetulan pemergian Allahyarhamah, dua minggu sebelum hari jadinya.

”ALLAH lebih sayang kan awak Mui. Semoga awak rehat dengan tenang di taman-taman syurga, our beloved Mui, ” katanya.

Sebelum ini, menerusi satu hantaran di Facebook oleh anak saudara Muhaini, Nafisah Hani merayu rakan-rakan mendoakan ibu saudaranya itu yang berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSM pada malam Sabtu.

Ironman

Tangkap layar seorang peserta kejohanan triathlon Ironman Langkawi yang diselamatkan selepas dipercayai mengalami masalah kesihatan pada Sabtu.

Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang peserta wanita dikejarkan ke HSM kerana disyaki mengalami keletihan semasa melakukan disiplin renang dalam satu kejohanan triatlon yang berlangsung.

Menurut laporan Bernama pada Ahad, Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner, Shariman Ashari mengesahkan kematian wanita berusia 44 tahun itu tetapi tidak mendedahkan sebarang butiran lain.

Tambahnya lagi, wanita berusia 44 tahun itu mempunyai masalah kesihatan semasa kejohanan triatlon tersebut.

"Wanita itu kelihatan tidak bermaya ketika sudah hampir tiba ke garisan penamat bagi disiplin renang dan dia telah diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, seorang peserta lelaki yang turut keletihan pula turut diberikan rawatan awal di lokasi kejohanan berkenaan yang berlangsung di Pantai Kok.

Dalam kejadian berasingan, beliau berkata, seorang penonton lelaki mengalami kecederaan ringan kerana terjatuh ketika menyaksikan kejohanan di lokasi sama.

Bernama sebelum ini melaporkan pada Ahad bahawa Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Othman Warijo berkata, wanita itu masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada dalam keadaan kritikal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram