KEHADIRAN seorang pengulas dalam mana-mana sukan memainkan peranan penting untuk menentukan sekiranya sesuatu perlawanan yang disiarkan secara langsung mendapat perhatian atau tidak.
Lenggok bahasa, semangat dalam menceritakan situasi serta kepakaran dalam menggunakan nada suara boleh dianggap sebagai antara ciri-ciri penting untuk menilai kebolehan seorang pengulas.
Hal itu turut tidak terkecuali dalam permainan e-sports, lebih-lebih lagi dengan sukan secara maya tersebut kini sudah cukup terkenal di peringkat global.
Berdasarkan pemerhatian dalam landskap e-sports dalam negara, terdapat beberapa pengulas, atau juga dikenali sebagai caster yang amat digemari setiap kali memberi ulasan ketika siaran langsung.
P Parthiban atau juga dikenali ramai sebagai OnTheGo (OTG) merupakan salah seorang caster yang amat dikagumi peminat permainan video atas talian PUBG Mobile.
OTG (kanan) ketika dinobatkan sebagai Pengulas Sukan Popular dalam Anugeran SAM 2022.
Ia terbukti apabila pada 29 Ogos lalu, selebriti berusia 30 tahun tersebut membawa pulang Pengulas Sukan Popular bagi Anugerah SAM 2022 meskipun perlu berdepan calon-calon lain yang lebih popular.
Bagaimanapun, kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diraihnya memandangkan OTG terpaksa mengharungi liku-liku mencabar sepanjang berkecimpung dalam dunia e-sports.
"Sekarang untuk jadi pengulas tiada cabaran tetapi, pada peringkat awal memang ada. Cabaran paling besar adalah rasisme kerana saya pernah hampir berhenti daripada bidang ini kerana rasisme sehingga saya cukup marah dengan komuniti.
"Saya pernah tulis di Facebook bahawa saya tidak akan berada dalam bidang ulasan kerana isu ini (rasisme) dan posting itu membuatkan orang ramai ingat kepada saya sehingga ia memberikan keyakinan," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, permulaan kariernya dalam bidang terbabit dibuat menerusi percubaan di media sosial sebelum cuba untuk meraih peluang dalam penganjuran sukan e-sports yang meriah.
OTG memiliki aura dan kebolehan tersendiri sebagai seorang pengulas e-sports. — Facebook/Onthego Productions
Ketekunannya dalam menempuhi onak duri itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia kini merupakan salah seorang pengulas PUBG Mobile sehingga ke Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia (PMPL MY).
Selain itu, cabaran yang perlu ditempuhi OTG dalam bidang pengulasan adalah kesukaran orang ramai untuk menerima gaya penyampaiannya pada peringkat awal.
"Kesukaran lain yang saya tempuhi adalah kerana saya merupakan rap caster di bawah kategori play-by play dengan saya perlu menceritakan apa yang terjadi secara langsung.
"Rap caster akan bercakap dengan laju. Pada awalnya, orang ramai bergurau dengan katakan bercakap terlalu laju akan menyebabkan saya alami semput dan ada juga yang kata kurang faham serta sukar menerimanya," kongsinya lagi.
OTG yang juga merupakan pengurus pasukan e-sports Team Secret juga mengatakan pelbagai kenangan manis yang pernah diraih sepanjang bergelar seorang pengulas.
OTG ketika masih bergelar pengurus Team Sports yang bersaing dalam PMPL. — Facebook/Onthego Productions
Antara momen sukar dilupakan adalah ketika dia bersama pasukannya memenangi beberapa gelaran dalam PMPL sehingga sukar untuk pihak lawan mempersoalkan kebolehan mereka.
Ketika ditanya mengenai kebolehannya untuk bertutur dalam bahasa ibunda, OTG mengatakan latar belakangnya semasa kecil memberikannya keselesaan dalam mengulas menggunakan bahasa Melayu.
"Ayah saya meninggal awal dan membesar dengan pengasuh berbangsa Melayu, jadi saya memang membesar cakap Melayu. Saya asal dari Penang, jadi saya memang fasih.
"Jadi, saya memang boleh bercakap dalam bahasa Melayu. Casting dalam bahasa Melayu boleh cakap banyak perkara yang kita tak boleh cakap bahasa Inggeris kerana perbezaan dari segi profesionalisme," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram