FAM, AFC beri restu Arab Saudi anjur Piala Dunia 2034, turut dapat sokongan 2 negara CONCACAF


  • Podium
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Arab Saudi mahu menjadi penganjur Piala Dunia 2034 sebagai misi mereka menjadi kuasa utama bola sepak global. — Agensi

PERTARUNGAN untuk mendapatkan hak tuan rumah Piala Dunia sentiasa menghiburkan penyokong bola sepak. Setiap kali terdapat perkembangan mengenai perkara ini, pastinya muncul keterujaan mengenai negara manakah bakal memperoleh hak tersebut.

Sebelum ini, terdapat perkembangan dimana FIFA bersedia untuk memberikan hak tuan rumah Piala Dunia 2030 kepada enam buat negara iaitu Sepanyol, Portugal, Maghribi, Argentina, Uruguay dan Paraguay.

Keputusan tersebut bakal menyaksikan Piala Dunia buat kali pertama diadakan di enam buat negara berbeza merentasi tiga benua iaitu Eropah, Afrika dan Amerika Selatan.

Di kala semua bersedia untuk Piala Dunia 2030, persaingan merebut hak tuan rumah Piala Dunia 2034 telah pun bermula. Beberapa negara telah disebut-sebut akan merebut hak tersebut seperti Arab Saudi serta gabungan antara Australia dan New Zealand.

Arab Saudi yang muncul dengan misi untuk menjadi kuasa baharu bola sepak bercadang untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 dan tindakan mereka itu mendapat 'restu' daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain AFC, badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menzahirkan sokongan mereka terhadap Arab Saudi dengan harapan mereka bakal menjadi negara ketiga Asia menganjurkan Piala Dunia selepas gabungan Korea Selatan-Jepun (2002) dan Qatar (2022).

"Kami menyokong Arab Saudi sebagai satu lagi negara Asia yang mampu menyajikan Piala Dunia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002 dan Qatar, 2022.

"Piala Dunia yang diadakan di Korea Selatan, Jepun dan Qatar amat menakjubkan dan kami yakin Arab Saudi juga mampu menganjurkan kejohanan yang sama,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

tweet

Ciapan FA Republik Dominika yang secara terbuka menyokong Arab Saudi. — Twitter (X)/@fedotubol

Selain AFC dan FAM, keputusan Arab Saudi untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034 ini turut mendapat sokongan daripada dua negara lain daripada perwakilan Amerika Utara iaitu CONCACAF.

Republik Dominika dan Guatemala adalah dua negara Amerika Utara yang secara terbuka menyokong Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

"Persatuan Bola Sepak Republik Dominika menyokong pencalonan Arab Saudi sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034," kata badan induk bola sepak negara itu.

Untuk edisi 2034, FIFA membuka peluang kepada mana-mana negara naungan AFC dan Ocenia Football Confederation (OFC) untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia berdasar faktor sistem penggiliran benua.

Piala Dunia 2022 di Qatar dikelaskan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino sebagai kejohanan yang menakjubkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram