JIKA disoroti semula permulaan musim ini, pemain import Selangor FC, Ayron Del Valle antara yang banyak menerima kritikan kerana kegagalannya untuk mencetak jaringan gol di saingan domestik khususnya saingan Liga Super.
Namun kini pemain dari Columbia itu menjadi menjadi pemain terbanyak Selangor, yang mana menjaringkan 21 daripada 64 gol Gergasi Merah dalam saingan Liga Super 2023 setakat ini.
Pemain berusia 34 tahun itu memulakan kariernya dalam kancah bola sepak Malaysia dengan 10 jaringan gol pusingan pertama dan 11 gol dalam pusingan kedua saingan Liga Super Malaysia.
Ayron juga memegang rekod pemain yang menjaringkan dua kali jaringan hatrik dalam satu musim iaitu semasa menentang Kelantan United FC dan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV.
Mengikut data penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, termasuk dua golnya dalam saingan Piala Malaysia, 83 peratus gol penyerang itu daripada jaringan dalam kotak dan 17 peratus selebihnya jaringan luar kotak.
Dalam 23 jaringan gol, 87 peratus gol terhasil daripada kaki kanannya, selain 50 peratus jaringan golnya adalah daripada ‘ball possession’.
Tidak ingin menjadi pemain yang ‘masuk bakul angkat sendiri’, Ayron sebaliknya menganggap kejayaannya itu terhasil dengan bantuan rakan sepasukan dan berhasrat mahu terus menambah jumlah jaringannya dalam baki perlawanan saingan Liga Super 2023.
Ayron menyarung jersi bernombor 70 di Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
“Saya sangat gembira dapat mencapai rekod seperti ini dalam tahun pertama saya bersama Selangor FC. Saya bekerja keras untuk mencapai objektif saya bermain di sini. Saya berusaha untuk memahami rakan sepasukan dan Liga Malaysia dengan cara saya tersendiri.
“Tidak dinafikan saya mengambil masa untuk ke tahap ini namun segalanya membuahkan hasil. Saya juga dibantu dengan kerjasama yang baik daripada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol-gol tersebut.
“Saya cuba faham kemampuan yang mereka miliki dan dapatkan kefahaman cara bermain kemudian daripada itu saya gunakan peluang untuk menjaringkan gol,” katanya memetik laporan dari Selangorfc.com
Bekas pemain Once Caldas itu percaya bahawa dengan kerjasama dari semua rakan sepasukan mampu memberi keputusan positif untuk Selangor dan seterusnya membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.
“Berbaki tiga perlawanan, saya dan rakan sepasukan akan terus berusaha menyiapkan diri secara fizikal dan mental bagi mendapatkan mata penuh untuk Selangor FC. Saya yakin kerjasama daripada rakan sepasukan akan membantu kelab mendapat keputusan yang terbaik.
“Secara individual pula, saya akan cuba menyumbang lebih banyak bagi memastikan pasukan mencapai sasaran musim ini. Tidak lupa juga sokongan yang diberikan oleh penyokong Gergasi Merah yang telah membantu kami untuk beraksi dengan lebih semangat di atas padang, terima kasih saya ucapkan kerana sentiasa ada bersama kami,” tambahnya.
Dengan prestasi semasa Ayron sebagai tunjang utama Selangor, penyokong sudah mula jatuh hati dengan aksi yang ditunjukkan bekas penjaring terbanyak Liga Colombia itu.
Kini Ayron antara pencabar kasut emas Liga Super 2023 selepas mengatasi jumlah jaringan penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri iaitu 18 gol dan diikuti rapat oleh Bergson da Silva (16 gol). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram