Kini menganggur, ada yang nak Park Hang-seo sertai Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Park Hang-seo sering menjadi igauan ngeri Harimau Malaya sewaktu dia mengendalikan Vietnam. — Agensi

SABAN musim, penyokong Selangor FC menantikan pelbagai perubahan dilakukan oleh kelab. Misinya cuma satu, untuk melihat kelab berdaya saing terutamanya dalam merebut kejuaraan.

Sehingga kini, belum ada satu piala yang berjaya didakap Selangor selepas kali terakhir memenangi Piala Malaysia pada 2015. Sejak daripada itu, Gergasi Merah mengambil jalan panjang dalam membangunkan kelab.

Jadi tidak hairan, jika ada sesetengah penyokong yang mungkin hilang sabar dengan kelab kerana belum ada piala yang berjaya didakap.

Selangor sebenarnya masih lagi mempunyai banyak ruang untuk dibaiki dalam misi menjadi pencabar kejuaraan di Malaysia dan penyokong pastinya bersetuju dengan perkara itu.

Oleh kerana itu, penyokong Selangor begitu aktif mencadangkan nama-nama yang dibawa masuk sekali gus menguatkan pasukan. Sebagai contoh, nama Park Hang-seo.

Masihkah anda ingat dengan Hang-seo? Bekas jurulatih Vietnam yang sentiasa menjadi igauan Harimau Malaya setiap kali bertemu.

Jurulatih dari Korea Selatan itu terkenal dengan tabiat suka mengintip pasukan lawan ketika mereka sedang melakukan persiapan. Malah, pengendali ini dilihat tegas dalam membuat percaturannya.

Melihat kepada rekod cemerlangnya bersama-sama Vietnam, penyokong Selangor berasakan tidak salah untuk kelab cuba mendapatkan Hang-seo yang kini tidak melatih mana-mana pasukan.

park-hang-seo_169

Park Hang-seo adalah satu nama besar dalam bola sepak antarabangsa. — Agensi

Walaupun kini berusia 66 tahun, namun Hang-seo masih lagi boleh melakukan tugas dengan baik dan jika Selangor mendapatkannya, mereka boleh mencabar kejuaraan.

"Tua, tua jurulatih ni terbukti bagus. Ini antara jurulatih Selangor patut dapatkan," kata penyokong bernama Mie Buraq.

"Setuju (untuk ambil dia), lepas ni mantaplah pemain-pemain Selangor. Sekarang ni manja betul pemain kita," komen Zailani Mamat.

"Bagus dia (ni), ambil je. Biar habis pemain kena maki. Ni pemain main, macam alaa layan je, kalah nanti buat balik," ujar Syafiq Mafrow.

Ada juga yang mencadangkan agar Hang-seo diberikan tugas untuk menguruskan skuad muda Selangor dengan harapan lebih ramai pemain muda cemerlang dihasilkan kelab itu.

"Orang tua ni (elok) latih pasukan bawah 23 tahun (B-23) Selangor," cadang Klip Nc.

"Bagi aku kalau ambil dia ni bagus juga untuk pasukan muda Selangor. Nampak macam perlahan sikit pemain muda kita naik," kata Irwan Rasid.

Sebagai rekod, Hang-seo yang melatih skuad senior dan B-23 Vietnam telah berjaya meraih gelaran Piala AFF, Piala AFF B-23 dan Sukan SEA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram