Tonggak Sabah FC cedera, 2 pemain ada komitmen punca HM belum lengkap di hari pertama kem latihan


  • Podium
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Sesi latihan pertama kem latihan pusat bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2023.— Facebook/FAM

TIGA pemain skuad Harimau Malaya tidak dapat menyertai hari pertama kem latihan kendalian jurulatih Kim Pan-gon sebagai persiapan menghadapi Pestabola Merdeka 2023 bermula 13 Oktober ini.

Pan-gon berkata, tiga pemain itu ialah tonggak Sabah FC, Stuart Wilkin, Nooa Laine dan pertahanan Buriram United, Dion Cools yang akan menyertai kem latihan bermula Isnin atau Selasa ini.

Beliau berkata, Nooa and Cools mempunyai komitmen masing-masing bersama kelab mereka manakala Stuart mengalami kecederaan hamstring yang tidak serius dan memerlukan rawatan susulan sebelum memulakan latihan.

kpg

Pan-gon ketika latihan pertama untuk Pestabola Merdeka 2023. — Facebook/FAM

"Saya fikir Nooa dan Cools akan tiba malam Isnin ini. Kini kita ada 23 pemain dan cukup untuk sesi latihan untuk beberapa hari nanti. Hanya Stuart sedikit keletihan kerana kecederaan hamstring,” katanya kepada pemberita di gelanggang latihan Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, dekat Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Mengikut jadual Pestabola Merdeka, Malaysia akan menentang India pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 13 Oktober ini.

Jika menang, Malaysia akan meneruskan aksi bertemu pemenang pemenang antara Palestin atau Tajikstan di pentas final pada 17 Oktober ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram