PELUMBA basikal Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dan atlet karate, Siti Nur Azwani Nor Azli diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2021/2022 pada Isnin.
Muhammad Nur Aiman mengungguli anugerah itu selepas menewaskan empat calon lain termasuk atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad. Manakala, Siti Nur Azwani melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merampas gelaran tersebut daripada bekas pesilat kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed.
Kemenangan itu membolehkan kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, piala iringan, sijil kepujian dan sepasang blazer dalam majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu (AST) di Wisma Darul Iman pada Isnin.
Muhamad Nur Aiman berkata, anugerah yang pertama kali diterima itu akan dijadikan sebagai pencetus semangat untuk terus melakar lebih banyak kejayaan demi pasukan, negeri dan negara pada masa hadapan.
Dia yang sedang menjalani kem latihan di Sepanyol diwakili ibunya untuk menerima anugerah berkenaan.
Siti Nur Azwani melakar sejarah sendiri apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Terengganu 2021/2022.
Siti Nur Azwani yang sedang belajar di tahun kedua dalam bidang Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berkata,dia tidak menyangka terpilih untuk menerima anugerah itu, memandangkan calon tersenarai masing-masing memiliki profil serta pencapaian karier sukan yang hebat termasuk di peringkat Olimpik.
"Walaupun rasa seperti tak percaya, Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya. Terima kasih kepada ibu bapa, jurulatih dan rakan-rakan yang banyak memberi galakan serta semangat,” katanya yang sedang menjalani latihan persediaan bagi pemilihan ke Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei.
Sementara itu, anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan AST 2021/2022 dimenangi atlet Muay Thai, Nor Iman Aliff Rakib dan atlet kanu, Syahida Asyiqin Rusli.
Jaguh basikal dunia yang juga anak kelahiran Dungun, Datuk Azizulhasni Awang turut menerima pengiktirafan bagi kategori Anugerah Khas atas pencapaiannya mengharumkan nama negeri dan negara. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram