'Saya adalah masa depan', peninju Thailand kuat menganjing tumbang terkena pukulan KO Johan Ghazali


  • Podium
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Peninju dari Thailand kelihatan membuat provokasi kepada Jojo sebelum dia ditumbangkan dengan pukulan KO. — One Championship

ATLET Muay Thai berusia 16 tahun negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sekali lagi melakar kejayaan dengan meneruskan kecemerlangan dalam siri One Championship pada Jumaat.

Dalam pertarungan itu, atlet muda dari Sarawak itu menumbangkan lawan dengan pukulan ‘knockout’ (KO) di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok, Thailand.

Menerusi rakaman yang dikongsikan Beyond Kickboxing, Johan, yang lebih dikenali sebagai Jojo bertarung dengan lawan dari Thailand.

Peninju Gajah Putih itu kelihatan membuat provokasi dengan menjelirkan lidah berkali-kali kepada Jojo.

Namun, Jojo yang mewakili Kelab Muay Thai Rentap kekal tenang dan membalas dengan tumbukan sebelum menumbangkannya dengan pukulan KO.

Ketika diwawancara selepas perlawanan, Jojo kelihatan cukup teruja dan gembira dengan kejayaan yang diraihnya.

"Secara jujurnya saya lebih suka pertarungan sebegini. Saya tak suka 16 saat (pertarungan terdahulu)... saya mahu saingan yang hebat daripada lawan.

"Saya kuat kerana ada sokongan daripada ibu di stadium, bapa saya yang menonton di rumah selain rakan-rakan yang datang dari Malaysia, jadi tak adil kalau saya tidak berikan 100 peratus dalam pertarungan ini.

"Sasaran saya seterusnya untuk mendapatkan kontrak, saya rasa belt One Championship ini ditakdirkan buat saya. Saya adalah masa depan," katanya dalam rakaman berkenaan.

Screenshot 2023-05-27 191721

Reaksi Jojo (kiri) selepas menang buat kali kedua menerusi pukulan KO di Bangkok, pada Jumaat. — One Championship

Terdahulu, Jojo membuat penampilan sulung menakjubkan pada Februari lepas di stadium sama selepas mengambil masa hanya 16 saat untuk menumbangkan lawan dengan pukulan KO.

Dia menewaskan lawan yang dua tahun lebih tua, Padetsuk Fairtex, 18, dalam kategori flyweight One Championship.

Pada tahun lepas, Jojo muncul juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menumbangkan peserta Rusia, Rustam Yunusob, bagi kategori 14 hingga 15 tahun (bawah 60 kilogram) dengan kiraan mata 20-18, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram