POLIS mengenal pasti suspek yang disyaki terlibat menyerang seorang pengadil futsal ketika mengadili perlawanan di sebuah kompleks sukan di Jalan PJU 1A/4 Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia awal 20-an itu, akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Terdahulu, Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa berumur lingkungan 40-an, membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada pukul 12.12 tengah malam, Khamis lepas.
Mohd Fakhrudin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, mengesan satu video berdurasi 13 saat memaparkan kejadian tersebut, yang tular di aplikasi Instagram milik akaun Majoritiofficial dengan tontonan sebanyak 17,300 dan dikongsi oleh 78 orang setakat Ahad.
Dalam video itu, pengadil terbabit pada awalnya dilihat melayangkan kad merah kepada seorang penjaga gol, susulan melakukan kekasaran terhadap pemain lawannya dalam perlawanan itu, sebelum seorang pemain dipercayai berada di tepi gelanggang secara tiba-tiba meluru masuk dan menyerang menggunakan lutut ke arah belakang badan pengadil berkenaan seperti ala ‘Muay Thai’.
Mohamad Fakhrudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram