SEORANG pengadil yang sedang mengendalikan perlawanan futsal di sebuah pusat sukan dekat Petaling Jaya, Selangor menjadi mangsa kekasaran selepas diserang oleh seorang pemain.
Kejadian itu tular sejak Khamis selepas wanita dipercayai isteri kepada pengadil tersebut berkongsikan sendiri video insiden berkenaan di Facebooknya yang menggunakan nama akaun, Nnies Adniza.
Berdasarkan klip berdurasi 13 saat itu, pengadil terbabit pada awalnya dilihat memberikan kad merah kepada seorang penjaga gol selepas ia dilihat melakukan kekasaran yang membahayakan pemain lawan.
Susulan daripada layangan kad itu, seorang pemain dipercayai berada di tepi gelanggang dilihat tiba-tiba meluru masuk dan melompat serta menyerang seperti ala Muay Thai dengan menggunakan lutut ke arah belakang badan pengadil berkenaan.
"Ada seribu rasa ingin diluah tapi kami berserah pada pihak lebih berkuasa untuk jatuh hukuman. Bukan kami takut untuk melawan tapi kami ada adab.
"Ya ALLAH hancur hati seorang isteri seorang anak bila ketua keluarga diperlakukan begitu. Apa hak anda nak tendang orang yang mencari rezeki.
"Kau dah salah tapi kau rasa hebat sangat. Jadi sekarang kau hadap la ya apa saja hukuman," tulis Nnies Adniz menerusi hantaran yang dibuat pada Khamis.
Waktu dan tarikh kejadian bagaimanapun tidak dinyatakan pada hantaran berkenaan dengan ia difahamkan berlaku ketika perlawanan futsal membabitkan kejohanan Liga Futsal KL.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen, Nnies Adniz turut memaklumkan bahawa laporan sudah dibuat kepada pihak berkuasa mengenai insiden tersebut dengan pihaknya kini menunggu tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa suaminya kini berada dalam keadaan baik cuma masih merasai kesakit di bahagian belakang badan akibat serangan itu.
Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa mahupun penganjur berkenaan insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram