[VIDEO] Dah tak perlukan manusia, robot kini mula galas tugas pembantu di Sukan Asia


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar video robot anjing itu sedang membantu pegawai bertugas menghantar cakera yang sudah dibaling kepada atlet. — Agensi

DUA robot anjing yang muncul dalam acara olahraga Sukan Asia China di Hangzhou pada Ahad lalu berjaya mencuri perhatian lensa kamera.

Memetik laporan ECNS, robot anjing itu membantu membawa cakera yang digunakan dalam acara lempar cakera agar acara tersebut berjalan dengan lancar.

Selain itu, robot itu juga dikatakan banyak membantu dalam memeriksa sistem bekalan kuasa, membimbing orang buta dan lain-lain lagi.

Robot itu menjadi sebahagian daripada sukarelawan di Sukan Asia Hangzhou tahun ini.

Menerusi video dalam Instagram, Xinhua News, dua robot anjing itu dilihat bersilih ganti membawa cakera yang dilontar oleh para atlet acara tersebut.

Seorang individu yang menjaga kedudukan jarak lontaran para atlet akan mengambil cakera yang dilontar dan kemudiannya meletakkannya di atas belakang robot tersebut.

Robot itu seterusnya membawa cakera tadi ke arah seorang lagi lelaki yang berada di garisan permulaan lontaran cakera tersebut.

Kemunculan robot dalam acara itu telah menandakan satu peristiwa penting dalam penerapan teknologi tersebut.

Robot yang digunakan untuk mengangkut cakera menambah sentuhan inovatif pada acara sukan tradisi itu.

Memetik laporan BNN, penggunaan teknologi ini bukan sahaja memeriahkan acara tersebut, tetapi ia juga menunjukkan potensi robotik dalam bidang di luar industri dan perkhidmatan konvensional.

Kemunculan robot itu ke dalam acara tersebut menyerlahkan pertembungan sukan dan teknologi yang saling berkaitan.

Penggunaan robot itu telah membuka potensi robotik dalam sektor yang berbeza di dalam industri.

Untuk makluman, temasya sukan terbesar di peringkat Asia, iaitu Sukan Asia diadakan empat tahun sekali.

Kejohanan itu telah membuka tirainya pada Sabtu (23 September) dan akan tamat pada Ahad ini.

Sebanyak 40 buah negara di Asia mengambil bahagian dalam sukan tersebut termasuklah para atlet negara kita. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram