[VIDEO] Insiden hampir terpeluk petugas Sukan Asia, perejam negara dipuji jaga batas


  • Podium
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Azlan Alias bersama rakan sepasukan dan petugas Sukan Asia selepas perlawanan final menentang Thailand. — Facebook/PSM

SKUAD sepak takraw kebangsaan gagal mempertahankan pingat emas acara antara regu di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas kecundang kepada Thailand 0-2 pada final di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua di Hangzhou, China pada Sabtu.

Walaupun membawa pulang perak, regu negara telah menampilkan semangat juang tinggi bagi menyaingi kehebatan pihak lawan terutama pada set kedua, namun tuah lebih berpihak Thailand yang dinobatkan sebagai juara selepas merakam kemenangan 21-15, 21-19.

Memetik laporan Bernama, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais juga akui beberapa kontroversi melibatkan keputusan pengadil dalam perlawanan itu juga memberi impak terhadap fokus para pemain.

Regu Malaysia mendakwa bola rejaman pemain Thailand sudah keluar daripada kawasan permainan, tetapi pengadil lebih memilih untuk memberikan mata kepada mereka.

Lupakan seketika mengenai keputusan kontroversi pengadil, satu insiden ketika perlawanan mencuri perhatian penyokong sehingga pemain takraw negara meraih pujian daripada orang ramai khususnya peminat sukan tanah air.

Menerusi video yang dikongsikan Astro Arena, perejam negara, Mohamad Azlan Alias dilihat secara tidak sengaja hampir memeluk petugas Sukan Asia yang bertugas untuk acara tersebut.

Ketika kejadian mengejar bola itu, pemain berjersi nombor lima itu dengan pantasnya menjauhi badan dan tangannya daripada tersentuh dengan budak perempuan tersebut.

Pemain Penang Black Panthers untuk saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) itu juga meminta maaf kepada petugas tersebut.

Reaksi pantasnya itu mendapat pujian daripada penyokong tanah air, yang mana menyifatkan perejam berpengalaman negara itu masih mampu menjaga batas antara wanita dalam situasi sedemikian.

“Subhanalah. Nampak iman seorang Muslim diletakkan begitu tinggi pada masa kalut macam itu,” puji penyokong, Rizal Rahman.

“Dia tak sentuh itu. Betul-betul jaga, salute,” tambah penyokong, Mayya itagold.

Pada set pertama, trio negara Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican bermula baik apabila berjaya mengikat kedudukan 11-11 sebelum Thailand yang dibarisi Pansan Pichet, Yupadee Pattarapong dan Khamchan Sittipong mula melebarkan jurang mata.

Ketinggalan 11-14, pembaharuan dilakukan dengan membawa masuk tekong Mohammad Syahir Mohd Rosdi menggantikan Muhammad Zarif dalam usaha mengubah perlawanan, namun percaturan itu gagal memberi kesan dan Thailand meraih kemenangan di set pertama.

Pada set kedua, perlawanan berlangsung sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berkejar mata demi mata dengan Malaysia mengikat kedudukan sebanyak empat kali, selain terus membuat penggiliran tekong sementara Thailand kekal dengan trio yang sama.

Malaysia dan Thailand terikat sebanyak tujuh kali sepanjang set kedua antaranya pada kedudukan 10-10, 16-16, 17-17 dan 18-18, namun pengalaman dan ketenangan menjadi pemisah kedua-dua pasukan yang menyaksikan pihak lawan menoktahkan kejayaan 21-19 untuk mengesahkan emas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram