SABAH FC memanfaatkan waktu rehat Liga Malaysia (Liga M) dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Brunei di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei pada Rabu.
Selain Sabah, Brunei juga bakal terbang ke Hong Kong bagi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 11 September nanti.
Pasukan yang berada di ranking ke-190 dunia itu dibimbing oleh Mario Rivera sejak tahun lepas dan ia sekali gus akan memberikan pengalaman berbeza buat The Rhinos untuk menentang pemain-pemain terbaik Brunei.
Ini kerana Sabah bakal memulakan perlawanan Kumpulan H kempen Piala AFC berdepan kelab Singapura, Hougang United pada 21 September nanti.
Selain Hougang United, Sabah juga diundi bersama juara Liga Indonesia, PSM Makassar dan naib juara Liga Vietnam musim lalu, Haiphong FC.
Namun, menjadi persoalan dalam kalangan penyokong Sabah selepas ketiadaan dua bintang utama iaitu Gabriel Peres dan Ramon Machado dalam sesi latihan pasukan pada Selasa.
Kim Swee dilihat membawa lebih ramai pemain-pemain muda menjelang aksi persahabatan menentang Brunei.
Menerusi perkongsian gambar latihan oleh Facebook rasmi pasukan, hanya dua pemain import terlibat dalam perlawanan itu iaitu Miguel Cifuentes dan Telmo Castanheira.
Ia menimbulkan rasa kerisauan penyokong Sabah yang mengharapkan dua tonggak import itu tidak mengalami sebarang kecederaan menjelang perlawanan Piala AFC pada 21 September nanti.
"Ramon Machado dan Gabriel Perez tak pergi ke Brunei ke? Takut cedera sahaja," kata Jay Lnn.
"Hampir 70 peratus pemain utama, import pun bawa dua orang, percaturan sesuai buat Kim Swee untuk menguji skuad Sang Badak," ujar Syrlnzam Zam.
"Mana Ramon? Ayam tambatan Sabah FC itu untuk main dalam Piala AFC, harap tiada siapa yang cedera," luah Norhakim Zainon.
Selain Sabah, Terengganu FC juga akan bersaing dalam Kumpulan G dengan menentang juara Liga Australia 2022, Central Coast Mariners, Liga 1 Indonesia 2021/2022, Bali United dan juara Divisyen 1 Filipina 2013, Stallion Laguna FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram