PENYOKONG Sabah FC pastinya sedikit kecewa dengan prestasi pasukan Sang Badak yang tidak berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik semasa saingan Liga Super sudah hampir menutup tirainya dengan berbaki empat perlawanan.
Namun, itu semua masih mampu dikejar oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee jika mereka mampu mencatatkan kemenangan untuk baki perlawanan saingan Liga Super.
Walaupun prestasi Sabah tidaklah begitu merudum berbanding pasukan lain, ia masih belum mampu membuatkan segelintir pihak menutup mulut mengkritik persembahan permainan dan pemain-pemain Sang Badak.
Malah ada yang mula merindui beberapa bekas pemain import tengah dan sudah mula membuat perbandingan mereka dengan bintang kelahiran Portugal, Telmo Castanheira.
Pemain berusia 31 tahun itu sudah melakukan empat jaringan dan tiga bantuan gol dalam 16 perlawanan Liga Super setakat ini bersama Sabah.
Majoriti senaraikan tiga bekas pemain import tengah Sabah yang mula dirindui oleh penyokong kerana kejayaan lampau bersama Sang Badak:
Musim ini Madinda beraksi bersama Persib Bandung. — Agensi
1. Levy Madinda
Mula mendapat pujian oleh penyokong Indonesia kerana aksi cemerlang bersama Persib Bandung, Levy Madinda kini merupakan antara pemain tengah terbaik Liga 1 Indonesia 23/24.
Dibawa oleh Bojan Hodak ke Persib Bandung pada Julai lalu secara pinjaman daripada Johor Darul Takzim (JDT), Madinda hanya mengambil masa selama dua bulan lebih untuk menambat hati penyokong Indonesia.
Sebelum berhijrah ke Indonesia, musim ini Madinda terlebih dahulu dipinjamkan ke Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi memperkuatkan skuad kendalian K.Devan sehingga jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan lepas.
Untuk rekod, Madinda pernah menyertai Sabah pada musim 2021 daripada kelab Turkiye, Giresunspor namun tidak disambung kontrak kerana dipercayai meminta gaji yang lebih tinggi.
Shitembi diberi gelaran 'The Dancing Shoes' kerana skil individu yang dipamerkan. — Facebook/Kuching City FC
2. Petrus Shitembi
Diberi gelaran 'The Dancing Shoes', Petrus Shitembi antara pemain import tengah terbaik yang berada dalam Liga Malaysia ketika ini.
Baru menyertai Kuching City FC, Shitembi terus membuatkan air mata penyokong Sabah mengalir selepas dia diumukan menyertai pasukan dari Borneo itu.
Musim lepas bersama Terengganu FC, Shitembi mencatatkan 10 bantuan jaringan dan meraih satu gol peribadi dalam 14 penampilan Liga Super.
Sebelum kehadiran Madinda, Shitembi merupakan pemain tengah yang berjaya memikat hati penyokong Sabah dengan skil individu yang menarik.
Kagayama sudah menjaringkan lima gol bersama FC Samgurali Tskaltubo di Liga Georgia. — Facebook/FC Samgurali Tskaltubo
3. Taiki Kagayama
Antara pemain sayap yang mampu memikat hati penyokong Sabah dengan tempoh masa singkat, Taiki Kagayama musim ini beraksi bersama FC Samgurali Tskaltubo di Liga Georgia.
Hanya semusim menyertai Sabah, namun kesan pemergiannya masih lagi dirindui oleh penyokong-penyokong The Rhinos.
Bersama Sabah, dia menjaringkan lima gol dan tiga bantuan 'assist' dalam 30 penampilan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Meskipun beraksi cemerlang, Kagayama dan Sabah berpisah selepas pemain kelahiran Jepun itu memilih untuk berkelana ke Eropah.
Bersama FC Samgurali Tskaltubo, Kagayama sudah menjaringkan lima gol dan satu bantuan jaringan dalam 18 perlawanan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram