[VIDEO] 'Dah macam penyokong Selangor', ultras Lyon beri amaran kepada pemain susulan prestasi hambar


  • Podium
  • Rabu, 06 Sep 2023

Ultras Lyon memberi amaran kepada semua pemain untuk perbaiki prestasi semasa pasukan yang hanya meraih satu mata dalam empat perlawanan terakhir.

ULTRAS pasukan bola sepak Olympique Lyon melaungkan amaran keras kepada para pemain kelab tersebut susulan kekalahan 1-4 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) di halaman sendiri pada Ahad lalu.

PSG telah berpesta gol pada separuh masa pertama dengan hasil jaringan Kylian Mbappe sebanyak dua gol, manakala Achraf Hakimi dan Marco Asensio satu gol.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Groupama, Perancis itu berakhir dengan keputusan 1-4 selepas Corentin Tolisso menyumbangkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti.

Lyon kini berada di tangga tercorot dengan hanya memiliki satu mata selepas empat perlawanan.

Dengan prestasi semasa Lyon, penyokong dilihat tidak berpuas hati apatah lagi jendela perpindahan di Eropah baru sahaja melabuhkan tirainya.

Selepas perlawanan tular video amaran keras daripada 'capo' ultras kepada pemain Lyon dalam sosial media.

Insiden itu berlaku sejurus sahaja wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan.

Pemain-pemain Lyon dilihat berdiri di hadapan ultras dengan hanya merenung ke kawasan belakang tiang gol ketika salah seorang 'capo' sedang bercakap kepada mereka menggunakan mikrofon.

"Kepada skuad Olympique Lyonnais 2023-2024, mesej ini ditujukan kepada anda. Kepada mereka yang menyandang status pemimpin di bilik persalinan, mereka tidak berhak untuk hanya berdiam diri.

"Anda memakai jersi Olympique Lyonnais. Orang lain sebelum anda memuliakannya. Anda tidak berhak untuk memburukkannya. Sekarang jendela perpindahan sudah berakhir, skuad yang ada sekarang hanyalah anda. Apa yang hanya kami minta adalah untuk terus bermain.

"Kami mahu bersorak nama anda dengan penuh hormat, dengan kasih sayang. Kerana kami tahu anda bermain dengan sepenuh hati.

"Tetapi untuk melakukannya anda perlu berusaha mendapatkannya. Kami menghormati baju ini,” kata salah seorang penyokong.

Penyokong Selangor

Antara insiden pertengkaran mulut pemain dan penyokong Selangor musim lalu.

Mungkin kejadian itu sesuatu yang luar biasa bagi penyokong di Eropah tetapi tidak dalam Liga Malaysia kerana sudah ada penyokong yang pernah berjumpa dengan pemain meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap prestasi pasukan.

Penyokong Selangor antara yang pernah mengadakan pertemuan bersama pemain di stadium mahu pun semasa skuad Gergasi Merah melakukan latihan menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi semasa pasukan sebelum ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram