Dikritik formasi 70-an, 3 tahun lalu mendiang B. Sathianathan pernah guna taktikal 'lapuk' benam Sabah FC


  • Podium
  • Rabu, 06 Sep 2023

Pemain-pemain Selangor FC meraikan jaringan rakan sepasukan pada 2020.

PENYOKONG Selangor FC pastinya mengingati jasa mendiang B. Sathianathan sepanjang beliau mengendalikan skuad Gergasi Merah pada 2018 sehingga 2020 sebelum dipecat ekoran kekalahan 1-6 di tangan JDT pada 19 September 2020.

Namun pemain ke-12 Gergasi Merah tidak boleh lupa kredibiliti mendiang yang membawa Selangor daripada tempat kelapan (2018) hingga ke pasukan lima terbaik Liga Super sepanjang beliau mengendalikan Selangor.

Sejak jurulatih berusia 65 tahun itu memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Selangor, banyak kritikan yang diterima olehnya jika pasukan tewas ataupun berada dalam prestasi yang tidak baik.

Antaranya ialah taktikal yang diterapkan oleh mendiang semasa melatih Selangor dianggap 'lapuk' ataupun sudah tidak relevan lagi dengan dunia bola sepak moden oleh penyokong Gergasi Merah ketika itu.

SHAH ALAM, 29 Dis -- Ketua Jurulatih Pasukan Selangor B Sathianathan (kanan) ketika sesi latihan bagi persiapan menghadapi kejohanan Asia Cup Challenge 2020 di Padang SUK Shah Alam hari ini.--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mendiang B.Sathianathan.

Namun tiga tahun lalu, Sathianathan membuktikan taktikalnya masih lagi relevan selepas menewaskan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 September 2020.

"Saya puji pemain kerana mereka bangkit dan mereka tak putus asa, itu yang kita nak. Selepas kita dapatkan gol penyamaan, saya tahu kita akan dapat jaringkan gol lagi.

"Saya beri pujian kepada pemain, bukan kerana taktik saya. Taktik saya semua lapuk, ini yang digunakan pada tahun 70-an, (formasi) 3-5-2 dan sebagainya.

"Kalau orang kata 3-5-2 ini tak boleh masuk akal, kita berjaya tiga mata dan saya akan cuba yang terbaik untuk Selangor.

"Satu lagi, saya puji padang di Likas. Walaupun hujan, pemain tetap boleh bermain di atas permukaan (padang) yang cantik," katanya.

Sebelum perlawanan itu, segelintir pihak menganggap Sathianathan menggunakan taktik lapuk selepas Selangor terikat tanpa jaringan berdepan PJ City dan kemenangan ke atas Sabah menyaksikan The Red Giants mengumpul sembilan mata keseluruhan pada musim itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram