Gagal ujian doping kedua, Juventus bakal 'ceraikan' Paul Pogba


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Pogba berdepan penggantungan empat tahun selepas sampel keduanya juga didapati positif testosteron.  — Agensi

KELAB gergasi Itali, Juventus difahamkan akan mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak pemain tengah sensasi, Paul Pogba selepas sampel keduanya juga didapati positif testosteron pada Jumaat.

Pada September lalu, pemain antarabangsa Perancis berusia 30 tahun tersebut digantung sementara selepas gagal ujian doping dan sampel kedua yang diberikan Pogba juga didapati positif.

Laporan daripada penerbitan Itali mendakwa bahawa Pogba diuji positif untuk testosteron pada 20 Ogos lalu selepas pertemuan Juventus dengan Udinese, perlawanan yang mana pemain Perancis itu gagal untuk turun padang.

Memetik laporan daripada Sportbible, agensi doping Nado Itali menyatakan bahawa Pendakwa Raya Antidoping Kebangsaan sudah memperuntukkan penggantungan sementara untuk Paul Pogba atau nama sebenarnya Paul Labile Pogba.

Pogba akan disoal siasat oleh tribunal antidoping dan jika didapati bersalah, dia akan digantung dua hingga empat tahun.

Dengan keadaan tidak memihak kepada Pogba itu, Juventus difahamkan sedang melihat kemungkinan untuk menamatkan kontrak bekas bintang Manchester United itu selepas dia berisiko digantung untuk tempoh yang panjang.

Terdahulu, sebelum berita mengenai ujian doping pertamanya itu, Pogba difahamkan mempertimbangkan untuk bersara daripada bola sepak atas dakwaan peras ugut dan ancaman daripada gangster yang diketuai abangnya, Mathias.

Pemain berusia 30 tahun itu memfailkan aduan dengan pendakwa raya pada Julai 2022 dengan mendakwa dia menjadi sasaran plot pemerasan €13 juta (RM65 juta).

Mathias Pogba ditahan pada September 2022 tetapi dibebaskan pada Disember di bawah semakan kehakiman dengan lelaki berusia 33 tahun itu menafikan semua dakwaan terhadapnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram