[VIDEO] Keputusan kontroversi pengadil punca Malaysia hilang emas takraw kepada Thailand


  • Podium
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Keputusan kontroversi pengadil telah ranapkan impian Malaysia memperoleh pingat emas. — RTM

HARAPAN untuk menyaksikan satu lagi kilauan pingat emas buat Malaysia di Sukan Asia Hangzhou berkecai selepas nasib tidak menyebelahi skuad sepak takraw kebangsaan.

Dalam acara sepak takraw kategori regu, Malaysia tumpas kepada musuh tradisi iaitu Thailand sekali gus tidak berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018.

Ketika perlawanan sengit melibatkan dua negara itu, regu Malaysia yang diwakili oleh Azlan Alias, Syahir Rosdi dan Zarif Marican ditewaskan dalam pertarungan selama hampir sejam apabila kalah straight set kepada Thailand.

Ketika set pertama, Thailand berjaya menumbangkan Malaysia dengan keputusan 21-15 dalam masa 28 minit. Ketika set kedua pula, saingan lebih hebat diberikan oleh Malaysia demi mengheret aksi penentuan pingat emas ini ke set penentuan.

Walaupun usaha keras diberikan, skuad negara tetap tidak berjaya untuk menghentikan cabaran Thailand apabila terpaksa akur kalah 19-21 selepas 30 minit.

Kekalahan itu bagaimana pun terdorong dengan keputusan kontroversi dilakukan oleh pengadil ketika penghujung permainan, sekali gus meranapkan cabaran Malaysia.

Regu Malaysia mendakwa bola rejaman pemain Thailand sudah keluar daripada kawasan permainan, tetapi pengadil lebih memilih untuk memberikan mata kepada mereka.

Ia menimbulkan protes dalam kalangan regu Malaysia walaupun ketika itu Thailand sudah meraikan kejayaan merangkul pingat emas seperti dalam rakaman di Twitter (X).

Walaupun terdapat pertikaian dalam kalangan pemain negara, rakaman dalam siaran langsung menyaksikan bola itu sebenarnya berada dalam kawasan permainan sewaktu ia mendarat ke lantai gelanggang seperti dalam video di Twitter (X) ini.

Ia sekali gus membuktikan keputusan pengadil adalah tepat dan menafikan peluang Malaysia untuk memperoleh satu lagi pingat emas di temasya ini.

Dengan keputusan itu, Thailand meraih emas, perak milik Malaysia manakala Vietnam dan Filipina berkongsi gangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram