KELAB Liga Malaysia (Liga M) minggu ini masing-masing melakar kejayaan apabila berjaya mencatat tiga mata bagi untuk Johor Darul Takzim (JDT) di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Sabah FC untuk kejohanan Piala AFC.
Skuad Esteban Solari melakar kemenangan 4-2 ke atas BG Pathum United pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menerusi dua jaringan gol dari Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva serta Juan Muniz masing-masing mencetak satu gol.
The Rhinos pula meneruskan rentak kemenangan dengan berpesta gol membelasah kelab Indonesia, PSM Makassar 5-0 di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Bali, Indonesia pada Khamis bagi saingan Kumpulan H.
Sebuah lagi wakil Malaysia, Terengganu FC (TFC) pula bawa pulang satu mata selepas seri 1-1 dengan Bali United pada saingan aksi kedua Kumpulan G Piala AFC di venue sama perlawanan The Rhinos.
Kejayaan tiga wakil tanah air di kejohanan ACL dan Piala AFC itu membuktikan bahawa pasukan Liga Malaysia (Liga M) mempunyai kualiti untuk beraksi menentang pasukan gergasi dari saingan negara Asia Tenggara lain.
Elias ketika aksi menentang Terengganu pada Rabu. — Agensi
Bukan itu sahaja, corak permainan yang ditampilkan kelab Liga M di dan kualiti para pemain negara di saingan Asia turut mendapat pujian daripada pertahanan tengah pasukan kebangsaan Thailand serta Bali United, Elias Dolah.
"Bagus main menentang pasukan dari Malaysia sebab kita semua tahu siangan Liga Malaysia sangat kompetitif. Kita sedar ada pemain yang bagus dalam saingan Liga Malaysia dan pasukan Liga Malaysia juga hebat.
"Memang bagus main menentang mereka. Kami akui kecewa tak dapat raih tiga mata di laman sendiri," katanya seperti dilaporkan Makan Bola selepas perlawanan antara Bali United menentang Terengganu.
Kenyataan yang dibuat dua bekas pemain import Liga M.
Pujian daripada pemain berusia 30 tahun itu sekali gus dapat menjawab kritikan dari bekas import Liga M iaitu Levy Madinda dan Christian Rontini yang sebelum ini pernah mengeluarkan beberapa kenyataan mengenai beraksi dalam Liga Indonesia dan Malaysia.
Terdahulu, bekas pemain import Negeri Sembilan FC, Madinda yang kini beraksi di Persib Bandung pernah mengeluarkan kenyataan yang dirasakan boleh mengundang pertikaian penyokong tanah air.
"Atmosfera pertandingan BRI Liga 1 (Indonesia) lebih bagus berbanding Malaysia," katanya.
Manakala, bekas pemain import Penang dan Kelantan FC, Rontini turut mengeluarkan pendapatnya, yang mana berpendapat Liga 1 Indonesia lebih sistematik daripada saingan domestik yakni Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram