Bukan setakat jurulatih dan pemain, ekor Harimau Malaya perlu main peranan jadikan SNBJ kebal


  • Podium
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Kim Pan-gon mensasarkan untuk memenangi Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM

SAINGAN Pestabola Merdeka bakal dilangsungkan pada 13 hingga 17 Oktober 2023 dengan Harimau Malaya bakal berdepan satu lagi ujian sebelum Piala Asia 2023.

Menentang pasukan-pasukan yang jauh lebih baik dari segi ranking seperti India, Tajikistan serta Palestin, skuad kendalian Kim Pan-gon mahu 'membunuh' mereka apabila bertandang ke Kuala Lumpur kelak.

Hal ini kerana, Pan-gon mahu menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang keramat yang sebenar buat Harimau Malaya dan siapa-siapa yang datang pasti akan ditewaskan.

Bagi penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Karim, tindakan Pan-gon itu amat perlu untuk menjadikan Harimau Malaya sebuah pasukan yang kuat terutamanya di laman sendiri.

Hal ini kerana, selama ini Bukit Jalil memang dianggap sebagai gelanggang keramat Harimau Malaya tetapi ia sekadar gelaran dan tidak lebih daripada itu.

"Kita sudah lama gelarkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang keramat kita tetapi ia tidaklah seperti yang digambarkan. Kita boleh kalah dengan sesiapa saja yang datang ke gelanggang kita.

"Pada saya, apa yang Kim Pan-gon kata untuk kalahkan semua pasukan yang datang ke Bukit Jalil adalah satu tindakan yang sangat tepat. Dengan adanya Pan-gon serta set pemain yang ada, kita akan jadikan Bukit Jalil sedikit demi sedikit kubu kuat Harimau Malaya. Siapa saja yang datang ke Bukit Jalil, akan 'dibaham' oleh Harimau Malaya," kata Zulakbal kepada Majoriti.

Zulakbal mengambil rujukan kegerunan pihak lawan setiap kali perlu berdepan England di Wembley.

Menurutnya, home advantage yang dimiliki England di Wembley membuatkan setiap pasukan pelawat mempunyai peluang tipis untuk pulang dengan kejayaan.

Walaupun begitu, usaha untuk menjadikan Bukit Jalil sebagai gelanggang tidak digemari pihak lawan memerlukan usaha kolektif oleh setiap pihak.

Penyokong juga perlu memainkan peranan dalam memastikan Bukit Jalil lokasi sukar untuk pihak lawan mendapatkan kemenangan.

553 (1)

Ultras Malaya adalah gerakan penyokong paling lantang ketika di stadium.

"Tugas nak jadikan Harimau Malaya begitu kebal di laman sendiri bukan terletak pada jurulatih dan pemain sahaja. (Tanggungjawab) itu juga terletak kepada iaitu ekor Harimau Malaya iaitu penyokong. Mereka mesti datang beramai-ramai dengan semangat yang kuat dan jitu.

"Penyokong mesti memberikan sokongan ketika Harimau Malaya bermain di Bukit Jalil tanpa henti dan tak hilang semangat ketika pasukan sedang ketinggalan. Penyokong perlu berjiwa besar, sama seperti jurulatih dan pasukan barulah Harimau Malaya begitu sukar untuk dikalahkan di Bukit Jalil," jelas Zulakbal.

Malaysia akan memulakan saingan Pestabola Merdeka pada 13 Oktober ini dengan menentang India. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram