'Tak boleh menilai pemain satu perlawanan', pakar jawab pertikaian Brendan Gan-Afiq Fazail dalam HM


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Ketiadaan Afiq Fazail dan pemilihan Brendan Gan dilihat menjadi pertikaian penyokong Harimau Malaya.

PADA Isnin lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menyertai kem latihan pusat bermula Jumaat.

Kem latihan itu sebagai persiapan bagi Harimau Malaya menghadapi Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 13 hingga 17 Oktober ini.

Berdasarkan senarai itu, Pan Gon mengekalkan 21 daripada 25 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi perlawanan antarabangsa menentang Syria dan China di Chengdu, China, bulan lalu.

Baki pemain lain terdiri daripada tiga tonggak skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan yang beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand termasuk Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nooa Laine.

Malah, Pan-gon turut memanggil muka baharu iaitu penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin selepas dia dilihat beraksi cemerlang bersama skuad Penyu musim ini.

Namun timbul persoalan dalam kalangan penyokong ketiadaan Afiq Fazail berbanding Brendan Gan yang mana prestastinya dilihat sedang menurun bersama Selangor FC.

FAM

Senarai pemain yang dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Pan-gon ke kem latihan pusat bermula Jumaat ini.

Penganalisis sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, panggilan Pan-gon untuk Pestabola Merdeka ini dilihat bayangan awal skuad yang akan beraksi dalam Piala Asia di Qatar tahun depan.

"Saya nampak 'call-up' Pan-gon kali ini memang pemain-pemain yang untuk prepare ke Piala Asia.

"Pestabola Merdeka ini 'platform' untuk Pan-gon bukan lagi uji pemain-pemain tapi untuk memperkukuhkan pasukan kebangsaan.

"Bukan kata Pestabola Merdeka ini tak boleh nak cuba pemain-pemain baharu itu, tapi kali ini objektif berbeza kerana untuk memantapkan Harimau Malaya," katanya kepada Majoriti.

Pekan juga berpendapat pemilihan Brendan Gan adalah satu penilaian yang baik untuk Harimau Malaya meskipun Afiq Fazail beraksi baik ketika membantu Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan BG Pathum United pada Selasa lalu.

"Kalau ikut perlawanan JDT dan BG Pathum United pada Selasa, 'call-up' dah dibuat lebih awal dan saya percaya tidak adil jika buat penilaian pemain berdasarkan satu perlawanan.

Suhaimi Husin

Pan-gon turut memanggil muka baharu iaitu penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin selepas dia dilihat beraksi cemerlang bersama skuad Penyu musim ini.

"Kadang pemain ini satu 'game' sahaja dia 'perform' sebab itu melihat kepada seluruh prestasi pemain menjadi mekanisme penilaian yang dibuat Pan-gon untuk membentuk skuad Harimau Malaya.

"Tetapi tidak ada masalah kalau Pan-gon nak panggil sebab masih ada beberapa bulan lagi sebelum Piala Asia, naum saya percaya dia (Pan-gon) tidak mengambil kira berdasarkan kepada prestasi dalam satu perlawanan.

"Ia kerana kadang-kadang main dengan kelab prestasi pemain sangat berbeza bila main dalam pasukan kebangsaan.

"Ketiadaan Syamer Kutty Abba juga mungkin sebab itu Pan-gon lebih memilih Brendan Gan supaya ada 'option' untuk membantu bahagian tengah selain daripada pemain naturalisasi," jelasnya.

Malaysia akan berdepan India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2023, 13 Oktober ini manakala Palestin menentang Tajikistan pada hari yang sama.

Pemenang perlawanan itu akan mara ke final dan pasukan yang tewas pula bersaing merebut tempat ketiga dengan kedua-dua aksi dijadual berlangsung pada 17 Oktober ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram