'Macam tak percaya', Neymar, Ronaldo perlu bersaing dengan Arif Aiman rebut 'top scorer' ACL


  • Podium
  • Khamis, 05 Okt 2023

AFC mengiktiraf Arif Aiman sebagai 'top 10' penjaring terbanyak ACL ketika ini.

PERMATA bola sepak tanah air, Arif Aiman Hanapi terus mencipta nama di peringkat Asia apabila menjaringkan dua jaringan gol untuk membantu Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United dengan keputusan 4-2 dalam aksi Kumpulan I Asia Champions League (ACL).

Skuad kendalian Esteban Solari itu menampilkan permainan berkualiti untuk memadam luka tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dari Jepun dalam aksi pertama baru-baru ini.

Arif Aiman menjadi pemain yang paling berbisa di atas padang selepas menjaringkan gol sekali gus berjaya membuka akaun jaringan dalam kejohanan tertinggi Asia itu.

Aksi yang dipamerkan Arif Aiman ketika berdepan Kawasaki Frontale dan BG Pathum United mula membuka mata pihak luar yang berminat untuk membawanya berkelana di bumi Eropah.

Statistik Arif Aiman

Statistik jaringan gol Arif Aiman dalam ACL.

Namun apa yang lebih menarik lagi, dua jaringan Arif Aiman ketika berdepan BG Pathum United itu meletakkan namanya dalam senarai 10 penjaring terbanyak ACL ketika ini.

Ia sekali gus memberikan gambaran awal bahawa pemain sayap berusia 21 tahun itu akan memberikan saingan untuk merebut kasut emas kejohanan tertinggi Asia itu.

Malahan Arif Aiman berada di atas nama-nama bekas bintang Eropah seperti Anderson Talisca (Al-Nassr), Moussa Marega (Sharjah FC), Maxime Lestienne (Lion City Sailors) dan Aleksandar Mitrovic (Al-Hilal).

Statistik Neymar Junior yang menggegarkan berita perpindahan bola sepak dunia dengan berpindah ke Liga Arab Saudi juga berada di bawah Arif Aiman.

Walaupun mempunyai nama yang besar dalam dunia bola sepak, Neymar dan Cristiano Ronaldo hanya mampu mencetakkan satu gol setakat ini.

Laman sesawang AFC turut mengiktiraf Arif Aiman sebagai 'top 10' penjaring terbanyak ACL walaupun ada pemain yang merekodkan jumlah jaringan sama dengan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia musim lalu.

Untuk rekod, Neymar menjaringkan satu gol ketika berdepan FC Nassaji Mazandaran (Iran), manakala Ronaldo pula meledak semasa bertemu Istiqlol Dushanbe (Tajikistan) pada Isnin lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram