Duo bintang Kedah antara 4 pemain boleh ikut Aidil Sharin musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Fayadh mungkin berubah jika dia beraksi di bawah Aidil Sharin musim depan.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) gagal mara ke saingan separuh akhir Piala Cabaran (Challenge Cup) berdasarkan agregat 0-4 apabila tewas kepada Kuching City FC 0-3 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Ia sekali gus memberi tamparan hebat buat Sang Kenari apabila mereka tewas di tangan bekas jurulatih, Aidil Sharin Sahak yang memilih membimbing Kuching City semasa jendela perpindahan kedua lalu.

Satu gol dihasilkan penyerang utama Kuching City, Abu Kamara dan dua gol Pedro Henrique di hadapan penyokong Kedah melenyapkan impian untuk mendakap Piala Cabaran musim ini.

Sejak dibimbing oleh Aidil Sharin, corak permainan Kuching City dilihat lebih berbahaya yang mana mereka mampu menewaskan gergasi Utara tanah air itu.

Namun mungkin kekurangan pemain berkualiti, Kuching City dilihat sukar untuk memberi saingan pada baki saingan Liga Super.

Dengan sudah lama membimbing Kedah sejak 2019, Majoriti senaraikan empat pemain boleh ikut Aidil bagi memperkuat Kuching City musim depan:

Kpah Sherman

Kpah pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak Liga Super 2019 bersama PKNS FC. — MFL

1. Kpah Sherman

Antara penyerang prolifik dalam Liga M, Kpah Sherman pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak Liga Super 2019 bersama PKNS FC.

Musim pertama dalam Liga Malaysia, Kpah membuktikan dia seorang penyerang yang sangat berkualiti apabila menjaringkan 14 gol dalam 19 penampilan.

Sejak daripada itu Kpah sudah hampir lima tahun beraksi dalam negara ini dengan mewakili Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC dan Sri Pahang FC.

Musim ini, Kpah antara watak utama Tok Gajah apabila berjaya menjaringkan 11 gol dalam 20 perlawanan setakat ini.

Renan

Renan sangat diminati oleh penyokong-penyokong Hijau Kuning.

2. Renan Alves

Pemain pertahanan kelahiran Brazil ini sangat diminati oleh penyokong-penyokong Hijau Kuning kerana semangat kesukanan dan ketangkasannya dalam menjaga benteng pertahanan Kedah pada musim lalu.

Renan telah menjadi tonggak utama buat jurulatih Kedah, Aidil Shahrin selama tiga musim berturut-turut. Dia juga berjaya membantu pasukan Sang Kenari mendapatkan slot dalam saingan AFC 2022.

Pemain berusia 30 tahun itu tampil dalam 59 perlawanan bersama PS Barito Putera dan menjaringkan 12 gol serta satu assist.

Renan mampu membentuk gandingan terbaik bersama pertahanan Kuching City, Alemao jika masih kekal bersama pasukan The Cats musim depan.

Fayadh masih belum memberikan impak buat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

3. Fayadh Zulkifli Amin

Setelah bertahun-tahun mencipta nama sebagai pemain sayap muda bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli Amin akhirnya berpeluang menyarung jersi kebangsaan awal tahun lalu.

Peluang itu diambil dengan baik meskipun dia hanya diturunkan sebagai pemain simpanan ketika aksi berdepan Turkmenistan dan Hong Kong.

Bagi peminat bola sepak negara, pencapaian itu dijangka menjadi satu titik permulaan buat pemain berusia 24 tahun tersebut untuk terus berkembang.

Namun, setakat musim ini, Fayadh masih belum memberikan impak buat skuad Sang Kenari apabila dia masih belum menjaringkan atau mencipta sebarang gol di peringkat kelab.

Tetapi nasib Fayadh mungkin berubah jika dia beraksi di bawah Aidil apabila pengendali Singapura itu yang bertanggungjawab membawa naik pemain itu semasa berada di Kedah.

Aiman Afif berjaya merekodkan satu jaringan dan satu bantuan gol musim lalu. FA Kedah

4. Mohd Aiman Afif

Mohd Aiman Afif merupakan penyerang berusia 22 tahun yang menjadi sebahagian daripada pemain skuad Harimau Muda yang berjaya layak ke saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B23).

Pada masa sama, pemain dengan ketinggian 1.78 meter (m) itu sudah dipanggil untuk bersama skuad utama sejak berusia 19 tahun namun masih gagal untuk menembusi kesebelasan utama pasukan.

Namun begitu, aksi pertamanya pada musim ini sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC pada 1 April menyaksikan dia dapat membuat satu bantuan gol bagi membolehkan KDA FC mendapat jaringan penyamaan pada minit akhir perlawanan.

Pada musim lepas, anak kelahiran Jitra, Kedah itu berjaya merekodkan satu jaringan dan satu bantuan gol daripada tujuh penampilannya bersama skuad utama.

Sama seperti Fayadh, Aiman mungkin akan jadi 'regular starter' buat Kuching City musim depan apabila dia mempunyai kualiti untuk mengetuai jentera tengah The Cats musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram