Tak popular bagi penyokong, 3 alasan CEO baharu TFC perlu singkir Mat Don


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Liridon Krasniqi antara pemain tidak popular dalam kalangan penyokong Terengganu FC. — Facebook/Terengganu FC

ANGIN perubahan dijangka tiba di Pantai Timur apabila pasukan Liga Super, Terengganu FC bakal menerima ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu.

Terengganu tidak lagi mempunyai CEO selepas penyandangnya, Abd Rasid Jusoh sudah tamat tempoh perkhidmatannya bersama-sama kelab, baru-baru ini.

Hingga kini, kelab itu masih belum mengumumkan nama pengganti Rasid, sekali gus menimbulkan teka-teki dalam kalangan.

Tidak kiralah siapa pun yang akan menggantikan Rasid, pelbagai urusan pastinya perlu diselesaikan bagi memastikan Terengganu terus maju sebagai sebuah kelab elit Liga Malaysia.

Penyokong sudah pastinya mempunyai hajat dan harapan terhadap CEO baharu agar dapat melakukan perkara yang dimahukan mereka termasuklah menyingkirkan pemain yang tidak berprestasi.

Dalam ramai-ramai pemain, terdapat satu nama yang menjadi sebutan penyokong Terengganu iaitu Liridon Krasniqi. Pemain naturalisasi kebangsaan ini sering menjadi kritikan penyokong Terengganu kerana tidak beraksi seperti diharapkan.

Analisis ringkas Majoriti kali ini akan merungkai tiga sebab mengapa CEO baharu Terengganu mesti singkirkan Liridon pada musim depan:

1. Tidak beraksi seperti diharapkan

Sejak tiba dalam kancah bola sepak Malaysia bersama-sama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Liridon dianggap sebagai pemain yang berkualiti dan mempunyai kemahiran teknikal bola sepak yang baik.

Persembahan Liridon bersama-sama KDA sewaktu mereka dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe dilihat cukup ampuh malah pemain naturalisasi kebangsaan ini dianggap sebagai nadi utama bahagian tengah.

384760028_303045109103597_1371800329378546812_n

Liridon kini bukan lagi pilihan utama Tomislav Steinbruckner. — Facebook/Terengganu FC

Namun selepas itu, prestasinya semakin menurun baik ketika di Johor Darul Takzim (JDT) atau pun Terengganu. Ketika dipinjamkan ke kelab India iaitu Odisha, pemain ini gagal memberi impak yang diharapkan.

Disebabkan itu, penyokong berasa sudah tiba masa untuk Liridon disingkirkan pada musim akan datang kerana impaknya terlalu sedikit untuk Terengganu.

2. Wang boleh digunakan ke tempat lain

Seandainya CEO baharu Terengganu mengambil keputusan untuk menyingkirkan Liridon pada musim hadapan, ia akan memberikan kesan kepada kantung kelab selepas ini.

Wang dapat dijimatkan dan Terengganu boleh melaburkan kepada pemain baharu baik tempatan atau import yang lebih baik berbanding Liridon.

Terengganu boleh cuba mendapatkan pemain baharu yang lebih muda dan segar untuk menguatkan pasukan sebagai pengganti Liridon. Bekas pemain KDA ini mungkin sudah melepasi kemuncak prestasinya dan tidak mampu memberikan impak maksimum kepada skuad Penyu.

Oleh itu, jika Liridon dilepaskan, Terengganu boleh menfokuskan wang yang sepatutnya digunakan membayar gajinya kepada perkara lain. Kalau tidak beli pemain baharu, fokus kepada pembangunan bakat muda di kelab.

3. Memenangi hati penyokong

Sejak kehadiran Liridon ke Terengganu, penyokong jelas tidak dapat menerima pemain tersebut. Pada mereka, kelab melakukan satu tindakan salah mendapatkan pemain naturalisasi itu.

386154961_305741685500606_4830817893789397047_n

Walaupun tidak beraksi, tetapi Liridon tetap dikenali di Indonesia. — Facebook/Terengganu FC

Jadi, untuk memenangi hati penyokong. CEO baharu oleh mengambil langkah populis dengan menyingkirkan Liridon sambil membawa pemain baharu yang lebih berkualiti.

Hubungan penyokong dengan CEO sebelum ini ada pasang surutnya dan keputusan membawa Liridon adalah salah satu tindakan kurang popular pihak kelab.

Seandainya Liridon disingkirkan, maka penyokong akan menyebelahi CEO baharu dan sokongan padu pasti akan diberikan oleh mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram