[VIDEO] 'Kalau saya Presiden TFC, saya nak tanggung semua perbelanjaan fans pergi awayday'


  • Podium
  • Khamis, 05 Okt 2023

Terdapat sebilangan kecil penyokong Terengganu FC yang terbang ke Bali untuk menyokong pasukan. — Facebook/Terengganu FC

BUKANNYA mudah untuk sesebuah penyokong dapat menyaksikan kelab mereka beraksi dalam kejohanan antarabangsa seperti Piala AFC.

Apabila berjaya layak ke kejohanan tersebut, pastinya penyokong memasang impian untuk berkelanan ke mana sahaja pasukan kesayangan mereka pergi.

Mana tidaknya, peluang beraksi di peringkat antarabangsa dan bermain di luar negara adalah satu perkara yang jarang berlaku. Oleh itu, peluang yang datang tidak mahu dilepaskan penyokong setia.

Begitu juga dengan penyokong Terengganu FC yang pastinya begitu teruja untuk terbang ke Indonesia, Australia dan Filipina bagi mengikut pasukan beraksi menentang Bali United, Central Coast Mariners serta Stallion Laguna.

Dan ini terbukti apabila terdapat sebilangan kecil penyokong Terengganu sanggup terbang ke Bali bagi menyokong skuad Penyu semasa perlawanan yang diadakan pada Rabu.

Penyokong-penyokong Terengganu hadir ke Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali dan hasil sokongan yang diberikan, skuad Penyu berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mendapatkan keputusan seri 1-1 pada minit-minit akhir perlawanan.

370159386_305877995486975_4902712582001173238_n

Pemain Terengganu meraikan kejayaan mendapatkan gol penyamaan menentang Bali United. — Facebook/Terengganu FC

Melihat kepada pengorbanan penyokong Terengganu yang sanggup bersusah payah ke Indonesia, ketua pasukan Terengganu iaitu Habib Haroon begitu mengimpikan dapat membalas jasa mereka.

Bercakap selepas perlawanan, Haroon mengatakan seandainya dia adalah bos besar Terengganu, ingin saja pemain tersebut memanjakan penyokong yang sanggup terbang beribu batu demi menyokong pasukan seperti dalam video di Twitter (X).

"Jika saya adalah presiden untuk kelab ini, perjalanan pergi dan balik, penyokong akan mendapat hotel mereka sendiri dan segalanya saya akan sediakan kerana mereka sanggup berbelanja dan terbang beribu kilometer untuk menyokong kami di sini.

"Penyokong Terengganu amat mengagmumkan, mereka menyokong kami waktu menang atau kalah. Mereka marah pada kami (kerana tidak bermain baik) tapi mereka akan tetap kembali. Mereka faham dalam bola sepak itu ada menang dan kalah. Ini adalah untuk mereka," kata Haroon.

Terengganu pada mulanya ketinggalan apabila Privat Mbarga meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-54.

Namun pada penghujung perlawanan, Syahmi Zamri muncul wira menyelamatkan Terengganu pada minit ke-84 bagi memastikan pasukan Pantai Timur itu masih belum kalah dalam kempen Piala AFC mereka musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram