ZAMAN kini, kita boleh saksikan pelbagai pergaduhan tercetus dalam kalangan manusia.
Ada masanya, punca pergaduhan itu disebabkan perkara-perkara yang serius tetapi ia juga boleh terjadi kerana alasan yang kecil dan tidak munasabah.
Di Amerika Syarikat (AS), tular sebuah rakaman menyaksikan beberapa pemain bola sepak berusia 11 tahun bergaduh di tapak letak kereta yang terletak dekat Florida.
Salah seorang daripada pemain bola sepak itu terlibat dalam pergaduhan dengan rakan sepasukannya. Perbalahan antara mereka pada mulanya dalam keadaan terkawal tetapi semakin mengganas selepas itu.
Hal ini kerana, suspek melarikan diri ke sebuah kereta dipercayai milik ibunya lalu mengeluarkan sepucuk pistol dari kotak simpanan yang tidak berkunci.
Suspek kemudiannya menembak dua rakan sepasukannya dari jarak dekat dengan mangsa pertama cedera di bahagian lengan sementara seorang lagi ditembak dekat bahagian tengah badan seperti dalam rakaman di Twitter (X).
Punca pergaduhan dikatakan kerana suspek dan mangsa berebut makanan ringan iaitu keropok. Perebutan tersebut kemudiannya menjadi perbalahan hingga berlaku insiden tembak di tempat awam.
Suspek kemudiannya ditahan oleh pihak polis atas cubaan membunuh dengan pistol tersebut dirampas. Suspek kemudiannya diletakkan di pusat penilaian juvana untuk tindakan selanjutnya.
Selain suspek, ibunya juga akan didakwa atas kesalahan gagal memastikan senjata api berada dalam pengawasan hinggakan ia mudah diakses.
Sementara itu, mangsa tembakan yang kini berada di hospital dilaporkan dalam keadaan stabil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram